Home Berita PAS Kelantan

Penghayatan Akhlak & Tasauf melalui pedoman Al-Quran (Juz 20)

261
SHARE
“Jadilah Manusia Bersyukur & Tidak Mengkufuri Anugerah Allah SWT”
Allah SWT telah menganugerahkan kepada manusia pelbagai kemudahan dan kesenangan hidup. Baki lagi ia kembali kepada manusia itu sendiri untuk menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat yang dikecapinya. Allah SWT mengingatkan hal ini melalui firman-Nya:
وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا یَشۡكُرُونَ. وَإِنَّ رَبَّكَ لَیَعۡلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمۡ وَمَا یُعۡلِنُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurnia-Nya kepada umat manusia akan tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. Dan sesungguhnya Tuhanmu mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan)”. (Al-Naml: 73-74)
Sesungguhnya Allah SWT telah melimpahkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki dengan pelbagai nikmat terutamanya nikmat Islam dan Iman seterusnya nikmat seperti berikut:
√ Nikmat Hidayah menerusi Al-Quran, perutusan Nabi (Al-Sunnah) dan setelah itu adanya para ulama sebagai pewaris Nabi meneruskan tugas para Anbiya’ ;
√ Nikmat dalam bentuk anugerah pelbagai kemudahan kehidupan yang datang dari langit dan keluar melalui bumi ;
√ Nikmat berupa keperluan dan kegunaan harian manusia seperti air, angin, udara dan lain-lain.
Kita sebagai hamba Allah SWT yang berada di bumi Allah ini bukan secara kebetulan, dicipta dengan ciptaan terbaik dikalangan makhluk-Nya serta dimuliakan untuk megabdikan diri kepada Allah SWT. Tetapi malangnya, kebanyakan Bani Adam setelah diuji dengan pelbagai nikmat rezeki, mereka lalai dan lupa anugerah Ilahi itu, bahkan lebih teruk lagi mereka ingkar dan derhaka. Oleh itu, kita perlu zahirkan kesyukuran itu dengan sentiasa membasahi lidah memuji kebesaran Allah, menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah lagi tercela, menjauhi bisikan nafsu jahat jin dan manusia serta sentiasa berjihad dalam menyempurnakan perintah Allah SWT.
Kita juga hendaklah mengungkapkan rasa terima kasih dan memberi penghargaan kepada orang yang membantu kita sebagai suatu tanda kesyukuran juga kepada Allah. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:
لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)
Bahkan Rasulullah SAW berpesan agar setiap kebaikan yang diberikan oleh orang lain kepada kita hendaklah kita juga berusaha membalas kebaikannya. Sekiranya kita tidak mampu maka berdoalah agar Allah turut membalas kebaikannya sebagaimana yang dikongsikan kepada kita. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ
Maksudnya:“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” (Riwayat Abu Daud)
Dalam pada kita menzahirkan kesyukuran nikmat, terdapat juga golongan yang menyembunyikan kekufuran mereka tetapi ternyata hati kecil mereka sangat membenci terhadap kesempurnaan dan keadilan Islam sebagai Al-Din. Golongan ini turut menyerlahkan perbuatan ekstrem mereka terhadap agama secara terbuka dengan menghina Al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW, sengaja membekal makanan haram dengan jenama halal, memprotes seruan azan kononnya bising, menyebarluas bible kepada khalayak termasuk muslim dan banyak lagi tindakan jahat mereka.
Perbuatan jahat mereka itu semuanya dalam pengetahuan Allah SWT hanya menunggu balasan daripada-Nya. Menurut Syeikh Said Hawwa dalam Al-Asas Fi Al-Tafsir dan Syeikh Ali Al-Shobuni dalam Sofwah Al-Tafāsir: kadang-kadangnya Allah SWT tidak menyegerakan balasan ketika di dunia kepada penentang agama-Nya dan pembenci Nabi-Nya bahkan diberi pelbagai kesenangan hidup dan kemewahan melebihi mukmin yang lain. Akan tetapi suatu masa mereka pasti berhadapan dengan ancaman dan siksaan pedih daripada Allah SWT. Peringatan sebegini perlu disampaikan kepada semua masyarakat demi mengawal perbuatan tidak baik daripada menular.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
20 Ramadhan 1442/02 Mei 2021
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob