Home Berita PAS Kelantan

Penghayatan Akhlak & Tasauf melalui pedoman Al-Quran (Juz 15)

82
SHARE
“Qiamullail Sumber Kekuatan Ummah”
Allah SWT memuliakan umat Islam dengan taqarrub dan hubungan yang dibina melalui solat. Kemuliaan ini akan melahirkan sifat yang terpuji dan ketinggian iman kepada seseorang. Allah SWT menggesa hamba-Nya agar melakukan solat malam dalam ertikata untuk membangunkan ketinggian rohani serta ketinggian maqam. Firman Allah SWT:
وَمِنَ ٱلَّیۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةࣰ لَّكَ عَسَىٰۤ أَن یَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامࣰا مَّحۡمُودࣰا. وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِی مُدۡخَلَ صِدۡقࣲ وَأَخۡرِجۡنِی مُخۡرَجَ صِدۡقࣲ وَٱجۡعَل لِّی مِن لَّدُنكَ سُلۡطَـٰنࣰا نَّصِیرࣰا
Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta bertahajjudlah padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku daripada sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”. (Al-Isra’: 79-80)
Sesungguhnya solat Tahajud itu adalah ibadah sunat yang paling afdhal setelah solat lima waktu sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud)”. (Riwayat Muslim)
Tahajud mesti dijadikan amalan keutamaan seluruh umat Islam apatah lagi pendakwah dan para pemimpin Islam. Kekuatan dan kejituan fikrah diperolehi melalui solat malam ini. Melaluinya dosa dapat diampunkan dan ketinggian maqam tercapai. Sabda Rasulullah SAW:
عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berqiamullail kerana ia adalah amalan kebiasaan para solehin sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu dengan Tuhan, menghapus segala kejahatan dan mencegah daripada segala dosa”. (Riwayat Tirmizi)
Kita hendaklah memperbanyakkan doa serta munajat semasa qiamullail dengan doa-doa mathūr yang diajarkan oleh Nabi SAW. Jika tidak dihafaz matan doa boleh sahaja berdoa dengan bahasa masing-masing ketika diluar solat. Melalui doa ini, ianya dapat menghindari pelbagai rintangan yang dihadapi. Mehnah dan cabaran kehidupan di dunia ini sudah pasti memerlukan pertolongan Allah pada setiap waktu dan hanya Dia yang berkuasa melindungi kita.
Hayatilah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam membawa risalah Islam. Ketika Rasulullah SAW diarah berhijrah ke Madinah sebagaimana mengikut satu riwayat daripada Ibnu Abbas R.A, Allah SWT telah menurunkan:
وَقُل رَّبِّ أَدۡخِلۡنِی مُدۡخَلَ صِدۡقࣲ وَأَخۡرِجۡنِی مُخۡرَجَ صِدۡقࣲ وَٱجۡعَل لِّی مِن لَّدُنكَ سُلۡطَـٰنࣰا نَّصِیرࣰا
Nabi SAW berdoa dengan doa tersebut bagi memohon bimbingan Allah agar dielakkan daripada segala perancangan jahat ketika itu. Doa ini sangat baik diamalkan dalam kancah kehidupan hari ini ketika mana Islam banyak menghadapi liku dan cabarannya.
Ada sekelompok manusia yang masuk dalam amal dan agenda kehidupannya, tidak dengan cara yang benar dan tidak jujur sehingga ketika keluarpun keluar dengan tidak benar dan penuh kedustaan. Ada yang masuk dalam suatu amal dengan benar akan tapi disebabkan ujian yang melanda dia keluar dengan tidak benar. Apa yang kita harapkan ialah masuk dan keluar dalam sesuatu perkara apatah lagi perjuangan menegakkan Islam hendaklah dengan Sidiq atau benar sebagaimana anjuran dalam doa tersebut.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
15 Ramadhan 1442/27 April 2021
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
https://twitter.com/datoahmadyakob