Home Berita PAS Kelantan

Pengeluaran lesen balak ikut prosedur ketat

682
SHARE

GUA MUSANG – Jabatan Perhutanan Kelantan menegaskan pengeluaran lesen pembalakan adalah mengikut prosedur ketat dan penelitian yang rapi sebelum dikeluarkan.

Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim, berkata sehingga kini 20 lesen sah dikeluarkan dan beliau yakin setiap pemilik lesen berkenaan mematuhi prosedur yang betul sepanjang kerja-kerja pembalakan dilakukan.

“Kita memiliki dua jenis hutan iaitu hutan perlindungan dan hutan pengeluaran. Hutan perlindungan adalah kawasan yang dikawal ketat dan tiada sebarang pencerobohan.

“Sekiranya pemilik lesen berkenaan gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan, kita tidak teragak-agak untuk membatalkan operasi mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Penghijauan di Raja di Tebing Sungai Ketil, di sini.

Pada program itu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob itu, Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menanam pokok ‘Blue Quandong’.

Terdahulu, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendakwa, kehidupan 3,000 masyarakat Orang Asli di 30 kampung berdekatan terjejas susulan  aktiviti pembalakan kerana bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan.

Pengerusinya, Mustafa Along menggesa jabatan berkenaan menarik balik lesen pembalakan di kawasan hutan Hulu Kelantan.

Mengulas lanjut mengenainya Zahari berkata, pihaknya menyangkal dakwaan berkenaan dan memberitahu bahawa kerja pembalakan sehingga kini masih mengikuti peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Pun begitu, kita tidak menolak mentah-mentah dakwaan mereka dan kita akan siasat sekiranya perkara ini meragukan. Kita mahu hubungan yang baik di antara jabatan dan masyarakat Orang Asli.

“Namun, perlu tahu, hasil balak merupakan pendapatan utama kerajaan negeri dalam mendapatkan dana kewangan untuk ekonomi pembangunan Kelantan,” katanya.- SINAR HARIAN 18/8/2017