Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pengecualian Visa bagi pelancong China dan India : Tindakan Makan Diri

337
SHARE

Kenyataan Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pengecualian Visa bagi pelancong China dan India : Tindakan Makan Diri

Tindakan kerajaan yang menggazetkan pelepasan visa kepada pelancong dari China dan India untuk tujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi adalah tindakan yang memakan diri sendiri.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri kedua mencatatkan seramai 76,258 (95.6 peratus) pelancong daripada China, dan 39,806 (96.5 peratus) pelancong dari India tidak mempunyai rekod tarikh keluar antara 2016 sehingga tahun 2018.

Hal ini bermakna dari tahun 2016 sehingga tahun 2018 berlaku pendudukan lebih daripada 100,000 ribu warga asing di Malaysia secara haram. Angka sebesar ini berlaku adalah disebabkan galakan kemasukan pelancong asing ke negara dengan pelepasan visa bagi pelancong China dan India yang mula-mula dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan BN dan kemudian diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Selain itu, peningkatan kemasukan warga asing ke negara juga akan menyebabkan berlakunya peningkatan kadar jenayah. Pada Oktober lalu, polis menahan 80 individu warga China yang terlibat dalam sindiket ‘Macau Scam’ dan pada 3 Disember baru-baru ini, 7 individu warga China ditahan lagi berhubung kes penipuan yang sama. Selain itu, berlaku juga kes kad pengenalan palsu yang turut melibatkan warga negara China dan India.

Berdasarkan kes-kes yang berlaku, jelaslah menunjukkan kerajaan masih belum bersedia dalam menghadapi kos yang bakal ditanggung, hasil daripada pembanjiran pelancong asing ke negara. Lihat sahajalah kelemahan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong (eNTRI) yang gagal merekod keluar pelancong sehingga berlakunya salah faham berhubung isu rekod keluar masuk pelancong asing ke Malaysia.

Bayangkan jika kerajaan tetap meneruskan projek pengecualian cukai kepada pelancong asing bagi tahun hadapan, ditambah lagi dengan ancaman keselamatan yang lebih berganda mencabar pada era kini.

Justeru, tindakan kebenaran masuk ke Malaysia tanpa visa ini perlu ditarik balik pelaksanaannya. Prospek ekonomi Malaysia bukanlah hanya bergantung kepada peningkatan pelancongan sahaja. Tiada sebab kerajaan mahu meneruskan perkara ini kecuali wujud kepentingan lain daripada pembanjiran warga asing China di Malaysia.

Ketua Pengarah
Dr Najihatussalehah Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Jamadil Awal 1441
3 Januari 2020