Home Minda Presiden

Penganut Islam diharamkan membawa pedang kayu?

252
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 13 / 2023]
PENGANUT ISLAM DIHARAMKAN MEMBAWA PEDANG KAYU?


Ketika penjajah dahulu datang menceroboh dengan senjata moden untuk menakluk tanah air umat Islam seluruh pelosok dunia, umat Islam tidak menyerah kalah sekali-kali. Malah, mereka melawan dengan apa sahaja yang ada di tangan. Maka, penjajah menguatkuasakan undang-undang bagi mengharamkan sebarang senjata kepada penganut Islam.

Puak mereka dibolehkan memiliki semua senjata, termasuklah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang dicipta oleh mereka sendiri. Hakikatnya, undang-undang ini laksana sarang labah-labah yang boleh dikoyakkan oleh mereka, tujuannya hanyalah untuk menghalang penentangan terhadap penjajah yang dilakukan oleh umat Islam dengan gagah berani tanpa menyerah kalah.

Begitulah yang dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi Zionis mengikut terma dalam Perjanjian Balfour 1917. Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata.

Oleh itu, dikuatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain. Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki. Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam.

Pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu, manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol. Demikianlah umat Islam begitu sekali dihina.

Teori menghapuskan peperangan juga disebarkan atas nama kemanusiaan, sedangkan mereka bebas menyerang negara lain untuk menjajah dan merompak. Akan tetapi, mereka dianggap pembebas, sedangkan penentang mereka pula dianggap lanun, termasuklah Raja-raja Melayu dan ulama’ yang melawan kedatangan penjajah.

Allah Pencipta manusia itu Maha Mengetahui akan munculnya kalangan manusia yang dirasuk iblis dan bala tenteranya, sehingga sanggup melakukan kejahatan secara melampau terhadap manusia yang lain. Justeru, Islam mewajibkan penentangan, sehingga diizinkan berperang menentang kezaliman tersebut bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan yang sebenar. Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٥١﴾

“Dan seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan sebahagiannya yang lain (yang beriman dan setia), nescaya rosak binasalah bumi ini. Akan tetapi, Allah sentiasa melimpahkan kurniaan-Nya ke atas sekalian alam.” (Surah al-Baqarah: 251)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam supaya menyediakan senjata dan latihan untuk menggunakannya bagi menghadapi musuh, hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada kalangan mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal: 60)

Walaupun Islam menggalakkan dan mendahulukan perdamaian, namun Allah SWT dan Rasulullah SAW mewajibkan penganut Islam agar sentiasa bersiap siaga dengan senjata yang sesuai pada zaman dan cabarannya.

Hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.

Seterusnya, umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain. Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.

Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam

Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara. Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri.

Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang. Islam juga mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat. Firman Allah SWT:

﴿مَن قَتَلَ نَفۡسَۢا بِغَيۡرِ نَفۡسٍ أَوۡ فَسَادٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعٗا وَمَنۡ أَحۡيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحۡيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعٗاۚ وَلَقَدۡ جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا بِٱلۡبَيِّنَٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم بَعۡدَ ذَٰلِكَ فِي ٱلۡأَرۡضِ لَمُسۡرِفُونَ٣٢﴾

“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan membawa segala keterangan yang jelas; kemudian sesungguhnya kebanyakan antara mereka sesudah itu, sungguh-sungguh melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Adapun mereka yang mempertahankan agamanya, dirinya, keluarganya, hartanya dan haknya yang wajib, mendapat pahala besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌قُتِلَ ‌دُونَ ‌مَالِهِ ‌فَهُوَ ‌شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ.

“Sesiapa yang mati mempertahankan hartanya, dia syahid (mati mulia), dan sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan dirinya, dia syahid, dan sesiapa yang mati mempertahankan keluarganya, dia syahid.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1421)

Begitu juga dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

‌إِنَّ ‌أَبْوَابَ ‌الْجَنَّةِ ‌تَحْتَ ‌ظِلَالِ ‌السُّيُوفِ.

“Sesungguhnya, pintu-pintu syurga berada di bawah bayangan pedang-pedang.” (Riwayat Muslim, no. 1906)

Maka, jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab. Adapun buruk sangka daripada kalangan bukan Islam dan munafiq terhadap perkara tersebut, biarkan ia musnah dengan kemarahan yang melulu itu, seperti yang disifatkan oleh firman Allah SWT:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Kamu sahajalah yang menyukai (dan percayakan) mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu, mereka berkata: ‘Kami beriman’, tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): ‘Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.’ Sesungguhnya, Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati. (119) Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian), nescaya ia menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya, Allah mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (120)”  (Surah Ali ‘Imran: 119-120)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 3 Sya‘ban 1444 / 24 Februari 2023