KOTA BHARU, 20 Dis: Dua antara 55 pasangan pengantin yang dirai dalam Majlis Raikan Cinta Perdana Sabtu lalu di Hotel Grand Renai mendapat cabutan bertuah pakej bulan madu yang bernilai RM500.
Kedua pasangan tersebut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak penganjur iaitu Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (UBeS).
Fuad Razak 28 dan isterinya Siti Najwa Abdul Halim yang telah mendirikan rumahtangga 31 Mei lalu berasa gembira kerana terpilih menjadi Pasangan Pilihan Istimewa dan bertuah mendapat pakej bulan madu.
Fuad yang bekerja sendiri sebagai tukang gunting rambut turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan bantuan skim Az-Ziwwaj kepada rakyat kelantan yang pertama kali berkahwin.
“Sedikit sebanyak skim ini dapat membantu keperluan saya dan isteri,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu Syaim Syakiran Sukri 25 dan pasangannya Mashitah Wan Mohd Suhaimi yang tinggal di Kampung Padang Enggang, Wakaf Che Yeh berasa teruja dan tidak menyangka yang mereka terpilih dalam cabutan bertuah itu.
“Saya anggap ini semua rezeki Allah kepada anak saya yang bakal lahir bulan Mac 2022 nanti,” katanya.
Tambahnya lagi program tersebut banyak memberi manfaat kepada beliau dan isteri tentang ilmu baru untuk membina rumahtangga yang bahagia dan diredhai Allah SWT.
Dalam majlis yang sama Pengerusi Jawankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata “kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada pengantin dengan memberi galakkan kepada golongan B40 yang layak memohon dan menerima RM1,000. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM3 juta untuk skim bantuan Az-Ziwwaj.”