Home Berita PAS Kelantan

Pengangkutan percuma untuk penginap 7 hotel ke Madinah Ramadan

142
SHARE

KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) menyediakan kemudahan pengangkutan percuma kepada para penginap di tujuh hotel yang berdaftar dengan TIC di sekitar bandar Kota Bharu untuk menunaikan solat terawih di Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.

Tujuh hotel tersebut ialah The Grand Renai, Hotel Perdana, H Elite Design , Jewels Hotel, Ibis Hotel, Grand River View dan Holiday Villa.

Demikian menurut Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Siti Hawa dan Lukisan Dinding di Mydin Mall, Tunjong, Sabtu lalu.

Tambahnya lagi, program tersebut ialah salah satu agenda Program Ramadan @ Kelate 2022 yang bertemakan ‘Kelate dihatiku’ yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan 1443H dengan objektif untuk mempromosikan keunikan dan kemeriahan bulan Ramadan di Kelantan kepada pelancong di samping membantu meningkatkan jualan peniaga bazar Ramadan serta mengukuhkan persaudaraan sesama Islam.

Usaha ini dilihat selari dengan artikel yang ditulis oleh Hasnina Hassan bersama rakannya dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2019 yang mengatakan, program Madinah Ramadan yang asalnya hanya acara bagi menghidupkan bulan Ramadan, sewajarnya menjadi platform untuk mendidik masyarakat dan pelancong dari segi rohani serta menjana ekonomi.