Home Berita PAS Kelantan

Pendidikan sebagai keutamaan dalam membangunkan masyarakat berilmu – MB

63
SHARE

MESIR, 16 Ogos: Antara agenda utama Kerajaan Negeri ialah memberi kefahaman berkaitan dasar pentadbiran negeri yang Membangun Bersama Islam kepada anak-anak Kelantan di Timur Tengah.

Tambahan pula, Kerajaan Negeri telah menjadikan agenda pendidikan sebagai keutamaan bagi membangunkan sebuah masyarakat berilmu yang mampu membangun diri dan menggerakkan aktiviti harian selari dengan panduan yang telah diturunkan oleh Allah SWT.

Ketika berucap dalam seminar Peradaban Kerajaan Kelantan di Timur Tengah (SPEKTRUM) semalam, Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob meletakkan harapan yang besar kepada semua pelajar yang menuntut ilmu di bumi Mesir yang secara tidak langsung akan menjadi rantai perjuangan bagi memperkukuh dasar Membangun Bersama Islam.

“Semoga pulang nanti para pelajar akan menjadi penggerak kepada pembangunan ummah, melahirkan masyarakat cintakan Islam sebagai cara hidup seterusnya menjadikan Kelantan kekal sebagai sebuah negeri yang ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.

Sementara itu, dalam program yang sama, turut dibentangkan slot wacana bertema “Pewaris Kerajaan Negeri yang Rabbani dan Muthaqqaf” yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof dan Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir Tuan Yang Terutama Zamani Ismail.