Home Berita PAS Melaka

Pendapat | Sumbangan Ramadan: Biar menepati keperluan golongan sasaran.

276
SHARE

 

Oleh HJ MOHSIN IBRAHIM

MASYARAKAT Malaysia khususnya orang Islam terkenal dengan sifat pemurah, tambahan pula di bulan Ramadan. Bersedekah juga adalah antara ibadah yang sangat digalakkan sebagai membina hubungan silaturrahim sesama Muslim.

Sebagai Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Melaka yang banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan dan mengedarkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, saya melihat ada ketikanya sumbangan yang diberi tidak menepati sasaran.

Saya pernah menziarahi rumah seorang warga emas yang menolak sumbangan berupa gula, susu dan kopi kerana beliau adalah penghidap kencing manis dan sudah lama tidak mengambil minuman manis seperti itu.

Gambar hiasan

Beberapa bulan lepas sewaktu mengadakan gotong-royong mengemas rumah sepasang anak yatim, ada beras sumbangan terpaksa dibuang kerana sudah rosak akibat disimpan terlalu lama.

Rupanya mereka kurang memasak kerana tiada kemudahan peti sejuk untuk menyimpan makanan. Alhamdulillah kita usahakan sumbangan dan dapat belikan sebuah peti sejuk untuk dua beradik tersebut.

Saya rasa kita kena pelbagaikan cara dan kaedah pemberian bantuan kebajikan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan ini.

Mungkin badan kebajikan juga boleh memberi sedikit wang untuk membayar bil elektrik atau air sebagai salah satu bentuk infak dan bantuan untuk mereka.

Atau dalam suasana hari ini boleh juga kita menyumbang makanan basah seperti ayam, ikan atau daging kerana harganya yang agak mahal sekarang dan tidak mampu dibeli oleh golongan yang memerlukan.

Ada banyak lagi sebenarnya isu yang berkaitan dalam soal mempelbagaikan bentuk bantuan yang boleh diberi kepada asnaf dan fakir miskin.

Contohnya warga emas yang sudah tidak larat memasak. Mungkin elok kita beri bantuan dengan cara memesankan makanan siap masak menggunakan khidmat penghantar makanan.

Selain itu mungkin kita boleh mengatur program sumbangan daging untuk golongan asnaf. Kita boleh ambil contoh amalan sewaktu Korban.

Saya cadangkan pertubuhan kebajikan membeli dan menyembelih lembu secara gotong-royong dan dagingnya diagihkan secara percuma untuk asnaf. Kita juga boleh membeli ikan secara borong untuk mendapat harga yang lebih rendah dan agihkan kepada fakir miskin.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah sumbangan yang diberi perlu menepati keperluan golongan sasaran. Kita tidak boleh menganggap bahawa semua golongan penerima bantuan sesuai untuk menerima sumbangan dalam bentuk beras, gula dan tepung sahaja. Tapi mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Perhubungan PAS Negeri Melaka.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .