Home Berita PAS Melaka

Pena kaunselor : Tidak bersetuju Proklamasi Darurat, satu rasionalisasi helah bela diri?

576
SHARE

Oleh : Abu Harith

HELAH bela diri merupakan satu mekanisme tindakan yang dilakukan oleh seseorang bagi menguruskan konflik yang berlaku dalam diri. Sigmund Freud (1949), seorang ahli psikologi yang mempelopori pendekatan psikoanalisis menjelaskan bahawa helah bela diri ialah usaha manusia mengaburi niat sebenarnya dalam bertingkahlaku supaya tindakannya merupakan sesuatu yang dapat diterima oleh dirinya sendiri dan masyarakat.

Menurut Freud lagi, manusia bermasalah kerana sentiasa terdapatnya pertentangan antara motivasi mereka untuk memenuhi keperluan gerak hati dengan keperluan mengawal diri dalam realiti kehidupan. Mekanisme helah bela diri akan mengawal dan mengurangkan kebimbangan dengan memutarbelitkan realiti melalui pelbagai cara.

Salah satu bentuk helah bela diri ialah, rasionalisasi. Seseorang itu akan menggunakan rasionalisasi untuk memberikan alasan yang tidak benar tetapi munasabah kerana tujuannya untuk mengesahkan tindakan atau mempertahankan ego yang tercabar atau mengubati hati yang terluka.

Sebagai contoh, seorang pelajar menggunakan helah ini dengan memberitahu ibu bapa bahawa punca mereka tidak lulus peperiksaan adalah kerana soalan susah atau pengajaran guru sukar difahami, walaupun sebenarnya mereka tidak membuat persedian yang mencukupi.

Berdasarkan kefahaman inilah, mungkin kita boleh mengandaikan bahawa pihak yang masih membuat bising dan tidak bersetuju dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri tempoh hari dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memproklamasikan darurat sebagai pihak-pihak yang menggunakan helah bela diri untuk memujuk diri sendiri dengan kekecewaan yang sedang mereka alami akibat peralihan pentadbiran negara secara sah pada bulan Mac tahun lepas.

Tindakan memproklamasikan darurat ini sememangnya satu proses yang berdasarkan di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat bedasarkan situasi Covid-19 yang sedang melanda negara hari ni.

Hakikatnya, dari sudut pemerintahan, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada. Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementerian dan negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19.

Sekarang adalah masa untuk semua pihak memberikan kerjasama yang baik bagi membawa negara kembali pulih daripada ancaman Covid-19 yang kembali meruncing.

Berpolitik secara matang dan bijaksana harus ditunjukkan kepada rakyat. Ini bukan masa untuk menjaga periuk nasi, kedudukan dan jawatan sesiapa.

Solusi terbaik terhadap permasalahan yang sedang dihadapi amat diperlukan agar kehidupan rakyat kembali harmoni, stabil dan terjamin. Politik tamakkan kuasa, meminta jawatan dan cakap tidak serupa bikin harus dihentikan segera.

Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar.