Home Rencana PAS Perak

PENA EDITOR PERAK | Dakwah : Berbuat kebaikan kepada semua

209
SHARE

PENA EDITOR PERAK

Dakwah : Berbuat kebaikan kepada semua
Oleh : Zulfahmi Ramli

DAKWAH bukan hanya menjadi peranan kepada para asatizah atau mereka yang berjawatan pegawai dakwah semata-mata. Hakikat sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam keseluruhannya melalui ruang dan kepakaran masing-masing. Masyarakat adalah sasaran dalam dakwah bagi memanfaatkan risalah agama untuk kesejahteraan dan pembangunan keseluruhannya.

Setiap daripada kita juga dituntut untuk saling bekerjasama secara amal jamaei dengan tujuan agar dapat memberi khidmat dalam menyelesaikan permasalahan atau kehendak mad’u tersebutdisamping mengharapkan perubahan dari sudut diri (akhlak), keinginan, khidmat dalam memenuhi keperluan (ekonomi) dan penyertaan dalam bermasyarakat (sosial).

Pertamanya, bermula dalam diri sendiri seharusnya sentiasa dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan agar dapat diamalkan dalam kehidupan. Malah dalam situasi yang getir ketika ini, pelbagai cabaran yang dihadapi generasi milenia termasuklah teknologi canggih tanpa batasan memerlukan penekanan dari sudut pendidikan yang sempurna.

Firman Allah dalam surah al-Ahzabayat, ayat 21 yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”

Justeru, dakwah ‘bil hal’ yang merujuk kepada tiga aspek utama iaitu akhlak, khidmat dan prasarana menjadi kaedah yang paling besar impaknya pada masa kini. Pendekatan ini dikenali dengan qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik) dengan memberikan khidmat bantuan sosial yang merupakan ajaran Rasulullah SAW dan para
sahabatnya .

Keduanya, amal maaruf dan nahi mungkar menjadi asas utama dan menyerunya itu adalah perintah Allah SWT yang mesti ditaati sebagaimana FirmanNYA dalam Surah Ali-Imran, ayat 104 yang bermaksud;

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Seringkali terfikir, jika bukan kita yang akan bersama untuk memastikan dakwah Islam itu tersebar, siapa lagi?. Adakah kita sanggup hanya menjadi penonton terhadap apa yang ada di hadapan kita sedangkan kita mempunyai kudrat yang berdaya untuk berbuat sesuatu.

Setiap daripada kita diberikan masa yang sama iaitu 24 jam tetapi hanya orang yang bijak menggunakannya dapat menjadikan kita tergolong dalam kelompok yang sangat dicintai Allah SWT iaitu menyeru orang ramai kepada kebaikan dan mencegah kepada kejahatan.

Ketiganya meletakkan agama itu di tempat yang tertinggi dalam keseluruhan kehidupan kita. Islam adalah Ad-Din yang merangkumi pelbagai aspek dan inci kehidupan kita. Manfaatkan sebaiknya peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk hidup di muka bumi ini agar di akhirat nanti yang kekal abadi meletakkan kita di syurgaNYA.

Abu Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud;

“Agama itu nasihat. Kami bertanya: “untuk siapa ?” Baginda menjawab: “untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin, dan bagi manusia umumnya.”

Pesanan tersebut adalah buat diri sendiri, ahli keluarga dan semuanya agar kita sentiasa mengutamakan Allah, Rasul dan ajaran agama Islam, nescaya keseluruhan hidup kita akan dirahmati, diberkati dan akhirnya diredhai Allah SWT, InsyaAllah.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 1 yang bermaksud;

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”.

Maka sewajarnya kita semua bersatu hati dan mengelakkan perselisihan faham di antara kita terutamanya dalam menjayakan tujuan dakwah yang sama. Saling hormat menghormati sesama kita dan berhati-hatilah agar sentiasa memilih manfaat yang lebih besar dan mudarat yang paling ringan, InsyaAllah natijahnya kebaikan buat semua.