Home Rencana PAS Perak

PENA EDITOR PERAK | BPMS : Terus bekerja untuk rakyat dan negara

58
SHARE

Oleh : Zulfahmi Ramli

PENGGAL PRU14 mencatatkan pelbagai sejarah baharu politik negara apabila menyaksikan pelantikan 3 orang Perdana Menteri (PM) iaitu PM7, Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Malaysia selama 22 bulan bersama Kerajaan Pakatan Harapan dan kemudiannya diterajui PM8, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan di bawah pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional.

Kemudiannya, pada 20 Ogos 2021, giliran Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan (PM9) menerajui Kerajaan Malaysia bersama gabungan yang sama dibawah PM8 melibatkan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, GPS dan GBS.

Maka, pembentukan kabinet juga menyaksikan reaksi pelbagai malah barisan kepimpinan di bawah PM8 telah membuktikan kecemerlangan mereka. Sewajarnya penghargaan diberikan kepada semua wakil parti yang menganggotai jemaah menteri tersebut sehingga ada yang dilantik semula dan mengangkat sumpah jawatan pada hari ini.

PAS amat berterima kasih kepada PM9 dengan membawa gagasan “Keluarga Malaysia” memilih 3 orang Menteri dan 5 orang Timbalan Menteri dengan menampilkan 2 muka baharu, Senator Ustaz Idris Ahmad sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pula memegang jawatan Timbalan Menteri II, Pertanian dan Industri Makanan dalam meneruskan kecemerlangan pimpinan terdahulu daripada PAS.

Dalam tempoh 17 bulan bersama Kerajaan Perikatan Nasional di bawah PM8, sememangnya telah membuktikan keupayaan pimpinan PAS berada dalam pelbagai posisi dan portfolio kementerian telah membuka dimensi baharu politik negara. Ianya memberi peluang kepada PAS menonjolkan solusi Islam dalam banyak perkara dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Antara pendekatan BPMS dalam pentadbiran berkerajaan adalah dengan meletakkan kepentingan negara dan masyarakat umum sebagai keutamaan secara adil tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik sebagaimana pernah dilaksanakan dalam pemerintahan kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional.

Malah kesengsaraan rakyat di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelumnya juga telah dapat diatasi melalui keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional yang mengutamakan kebajikan dan integriti. Dalam pada itu, asas kerjasama di antara parti-parti politik ketika ini adalah berdasarkan perintah Allah SWT melalui FirmanNya dalam surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud;

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Justeru, permuafakatan mestilah dijaga sebaiknya dengan memastikan keikhlasan kerjasama diterjemahkan secara jelas melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama sebaliknya tidak wujud unsur “tikam kawan” dengan membentuk jajaran bahru bersama musuh politik demi kepentingan individu tertentu atau survival politik pihak tertentu yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

Bertindaklah secara bijak dan bersamalah bermuhasabah agar kita sentiasa berada di landasan yang benar serta mengharapkan keredhaan Allah SWT. InsyaAllah.

ZULFAHMI RAMLI
Ketua Editor
PAS Negeri Perak