Home Rencana PAS Perak

KARYA KREATIF | Patriotik dan perpaduan : Laksana agenda bersama

251
SHARE

Oleh: Muhammad Syafiq Hamid

MALAYSIA merupakan sebuah negara contoh yang unggul dalam menterjemahkan perpaduan antara bangsa dalam sesebuah negara. Kepelbagaian bangsa dan etnik menyokong Malaysia untuk terus kehadapan dengan baik sekaligus dipandang tinggi di mata dunia.

Hasil dapatan yang dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global (GPI) pada tahun 2019, pencapaian Malaysia dilihat meningkat iaitu daripada tangga ke-30 pada tahun 2017, tangga ke-25 pada tahun 2018 dan meningkat kepada tangga ke-16 pada tahun 2019.

Laporan tersebut menunjukkan Malaysia berjaya mendapat pengiktirafan sebagai antara negara teraman di dunia, walaupun terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa, budaya dan agama.

Malangnya, terdapat segelintir individu dan golongan yang tidak bertanggungjawab cuba memomokkan bahawa seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan berkonflik dan berpecah-belah.

Mereka melaporkan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar dan budaya toleransi semakin menipis selain turut memaparkan perasaan curiga yang semakin menebal khususnya antara kaum.

Contohnya, sesetengah Orang Melayu seperti memandang etnik Cina sebagai seteru manakala sebahagian etnik Cina pula beranggapan Melayu bersikap etnosentrisme, iaitu etnik eksklusif dan tidak boleh bertoleransi dengan etnik yang lain.

Antara punca punalaran persepsi buruk ini adalah penyalahgunaan teknologi dan media sosial. Pihak tidak bertanggunjawab mengunakan wahana media sosial dengan menularkan persepsi bahawa masyarakat Malaysia berada dalam ketidakstabilan perpaduan kaum.

Peristiwa demi peristiwa berlaku di sekeliling kita menjadikan masyarakat semakin keliru. Satu demi satu kejadian dilihat seolah-olah membunuh rasa damai dan menjadikan masyarakat menjadi gusar. Rasa hormat terhadap negara mula tergugat dan akhirnya memadam sedikit demi sedikit semangat patrotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita perlu membawa satu mekanisme bagi memantau tahap perpaduan negara dari semasa ke semasa. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan Indeks Perpaduan bagi melihat tahap perpaduan dan patrotisme dalam kalangan rakyat di negara ini.

Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya perpaduan. Manakala perpaduan pula terbina jika setiap rakyat mempunyai semangat patriotisme. Semangat ini menjadi satu pemangkin untuk rakyat menguruskan konflik dengan jiwa dan semangat yang besar.

Sebagai sebuah negara majmuk, semangat patriotisme dan perpaduan tidak boleh dipandang ringan, hal ini kerana jika ia tidak diuruskan dengan baik, peristiwa berdarah seperti 13 Mei 1969 boleh terjadi kembali dan dikhuatiri akan menjadi lebih parah dengan keadaan global yang kadar capaian dan provokasi mudah ditularkan dengan liar.

Walaupun Malaysia mendapat status antara negara teraman di dunia, masyarakat perlu sentiasa proaktif bagi menguruskan perpaduan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi dengan perkembangan globalisasi dan dunia tanpa sempadan.

Prof. Jomo Kwame Sundram, pernah meluahkan rasa hatinya bahawa dalam keadaan negara kita yang berbilang kaum, gerakan nasionalisme masih perlu dibina bukan hanya untuk menghadapi masalah dan cabaran pembangunan kini, tetapi juga untuk menghadapi masalah perpaduan kebangsaan.

Professor Ulung Dr. Shamsul Amri pernah menekankan tentang pentingnya untuk semua pihak memahami makna perpaduan dan meletakkan usaha dalam memupuk perpaduan. Pemahaman awal mengenai perpaduan haruslah diubah daripada bersifat simplistik, mekanistik dan literal semata-mata ke arah yang lebih menyeluruh dan menitik beratkan inti-pati perpaduan itu sendiri.

Pemahaman bersifat simplistik adalah meletakkan usaha hanya bersifat fizikal seperti melaksanakan majlis jamuan bertujuan mengerat perpaduan. Manakala mekanistik pula adalah melaksanakan usaha bersifat mekanisme seperti mengadakan sekolah wawasan namun tidak menitik beratkan apakah modul dan silibus dalam sekolah tersebut.

Kita perlulah memaknai usaha ini dan membumikan segala usaha itu supaya ia dapat membuahkan hasil, kita tidak mahu segala usaha perpaduan ini sekadar menjadikan rakyat Malaysia hanya bergaul tetapi masih mempunyai defisit kepercayaan yang tinggi.

Islam meletakkan perpaduan antara bangsa dan etnik ditempat yang penting dengan penurunan ayat dalam surah Al-Hujurat iaitu tentang peri-pentingnya manusia itu berkenalan (Taaruf). Proses berkenal ini perlu menjuruskan kearah membina persefahaman antara setiap etnik, bangsa dan budaya lalu melahirkan sikap toleransi. Benih bersefahaman inilah akan membuahkan hasil perpaduan dengan membuatkan kita boleh bersetuju dengan perkara bersetuju dan bersetuju dalam perkara yang tidak bersetuju.