Home Berita PAS Perlis

Penduduk sambut baik program ikan percuma

223
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 3 Sept : Program pemberian ikan percuma yang diadakan di beberapa buah lokasi di negeri ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada masyarakat.

Tinjauan Berita PAS di beberapa buah lokasi program mendapati stok ikan yang disediakan habis diedar dalam tempoh yang singkat.

Di Bintong misalnya, ikan seberat 600kg habis diagihkan dalam tempoh kurang dari dua jam, pagi tadi.

Rata-rata penduduk yang ditemui, menyambut baik inisiatif PAS Kawasan Kangar mengadakan program berkenaan.

Pekerja kedai peralatan binaan Hasmi Hashim, 39, dari Kampung Hujung Bukit, berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada PAS Kawasan Kangar atas inisiatif mengadakan program berkenaan.

“Alhamdulillah dan ucapan terima kasih kepada PAS Kawasan Kangar atas pemberian ikan percuma hari ini,” katanya.

Pandangan beliau turut dikongsi Nor Hazita Hassan, 49, yang menyifatkan pemberian ikan percuma ini mampu membantu mengurangkan beban perbelanjaan masyarakat pada ketika ini.

“Terima kasihlah kepada PAS Kawasan Kangar atas pemberian ikan kembung percuma hari ini yang dapat membantu meringankan beban perbelanjaan kami (rakyat) pada ketika ini (PKP),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya, ketika ditemui di sini menjelaskan pihaknya akan terus menggerakkan program-program seumpama ini dalam usaha membantu masyarakat.

“Hari ini, PAS Kawasan Kangar melalui JPrD Bintong telah berjaya  mengedarkan kepada masyarakat, ikan kembung seberat 1kg setiap seorang.

“Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada JPrD atas pelaksanaan program yang sangat baik ini terutamanya ketika ramai penduduk terjejas dan memerlukan bantuan akibat pelaksanaan PKP pada ketika ini.

“Jadi kita (PAS kawasan) mengambil kesempatan untuk berkhidmat kepada masyarakat, membantu meringankan serba-sedikit beban kesusahan yang sedang dihadapi oleh masyarakat,” ujar beliau.