Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

Pena Editor Negeri Sembilan | Belum selesai lagi perjuangan menangani Covid-19

52
SHARE

Oleh : Rusilah Md Som

Petikan ucapan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin semasa melancarkan Pelan Pemulihan Nasional pada 15 Jun lalu berkata:

“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara ( PPN) yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19”

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menukilkan pandangannya dalam Minda Presiden yang bertajuk ‘Perjuangan menangani Covid-19 belum selesai’.

Tuan Guru Abdul Hadi menyahut seruan tersebut dengan memberikan pandangan bahawa Islam mampu menjayakan serta merealisasikan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) di samping beliau menolak sekeras-kerasnya kepentingan peribadi parti-parti politik terutamanya parti pembangkang di tanah air yang berusaha gigih menggagalkan usaha tersebut.

Apabila diajukan soalan berkaitan kegagalan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 menangani wabak Covid-19, Pesuruhjaya ( PJ) PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, memberikan jawapan tuntas, katanya sikap tidak ikhlas untuk menyelesaikan wabak Covid-19, terutama dalam kalangan pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang lebih suka melihat wabak Covid-19 berterusan kerana perkara tersebut dapat dijadikan sebagai alasan untuk membuktikan kelemahan kerajaan PN dan seterusnya dijadikan sebagai justifikasi untuk mengesahkan kononnya kerajaan PN gagal,” ujar beliau.

PAS tetap akan bekerjasama menjayakan usaha kerajaan, Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan kepada semua masyarakat wajib memelihara perpaduan dan mewujudkan permuafakatan yang telah sedia ada bagi menghindarkan sebarang ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara dengan mengenepikan perbezaan parti politik, agama dan bangsa.

Melalui tulisan beliau dalam Harakahdaily pada 3 Mac 2021, bertajuk ‘Perpaduan Ummah: Perpaduan Islam Dan Perpaduan Manusia’ menyatakan bahawa Surah al-Hujurat menunjukkan ‘road map’ perpaduan ummah yang paling unggul mengikut petunjuk Allah SWT.

Peranan kerajaan juga jelas mengutamakan perpaduan dan perkara ini juga telah ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Dasar Perpaduan Negara, Berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Jelas, perpaduan yang digariskan oleh Islam menjadi asas utama terutama bagi menstabilkan politik negara dan seterusnya memberi laluan yang jitu ke arah usaha menjayakan PPN secara berfasa.

Presiden PAS juga mengajak rakyat Malaysia menangani pandemik Covid-19 dengan penuh kesabaran kerana terlalu banyak kesannya dalam kehidupan masyarakat dan sudah pasti boleh membawa kepada situasi berputus asas untuk meneruskan kehidupan.

Tegas beliau Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa.

“Kita perlu membuat perbandingan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Ayyub AS ketika diuji dengan penyakit, apabila menghadapinya dengan penuh kesabaran,” ujar Presiden PAS itu lagi.

Konsep sabar dan syukur perlu ditanamkan dalam diri setiap manusia agar dapat menerima sebarang ujian kesakitan dan bencana yang datang hanya dalam waktu yang singkat. Sebaliknya, di kala Allah kurniakan waktu sihat dan senang yang berkali-kali ganda panjang ramai manusia terlupa mensyukuri segala nikmat tersebut.

Justeru, minda masyarakat yang sedang dilanda bencana ini perlu diurus sebaik mungkin dan penyelesaian terbaik adalah dengan kembali kepada ajaran agama Islam kerana di sana terdapatanya ayat-ayat Allah menyuruh umat bersabar, bersyukur dan larangan berputus asa.

Melalui PPN, kerajaan PN berusaha untuk memberikan vaksin secara percuma kepada rakyat sehingga negara dapat mencapai imuniti kelompok bagi membendung wabak Covid-19 dan ini yang disarankan dalam Islam agar umatnya terus berikhtiar menggunakan ilmu dan akal yang di kurniakan Allah.

Benar, usaha PPN masih belum selesai, namun kerajaan dan semua pihak sedang berusaha gigih menangani wabak Covid-19. yang semakin mengganas dan angka yang positif dijangkiti juga mencatatkan jumlah tertinggi pada tarikh semalam 14 Jun, iaitu 11,618 orang dan juga catat kematian tertinggi seramai 118 orang.

Editor Berita PAS
Negeri Sembilan