Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Tidak bermaknakah Aidiladha kita kali ini?

107
SHARE

SUDAH dua tahun kita melalui dan menyambut hari mulia Aidiladha dengan situasi tidak selesa akibat Covid-19. Banyak perkara yang biasanya kita boleh lakukan tapi kita tidak dapat lakukan kali ini.

Yang paling saya rindu sudah tentulah untuk berkumpul bersama adik beradik dan sanak saudara. Selain itu saya juga rindu untuk menunaikan solat hari raya Aidiladha dan melakukan aktiviti korban di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah di Jalan Hujan Panas yang sudah menjadi tradisi puluhan tahun kami di sini.

Kali ini kita masih lagi melaluinya dengan kesukaran. Namun, adakah kita boleh mengatakan bahawa Aidiladha kita kali ini tidak bermakna?

Adakah seseorang yang diuji oleh Allah swt hilang anggota badan kerana penyakit atau sebagainya boleh mengatakan solatnya sudah tidak bermakna kerana tidak boleh solat berdiri seperti sebelumnya?

Adakah mereka yang berada di zon perang seperti di Palestin yang hidup dalam ketakutan dan tiada pakaian baharu untuk dipakai pada hari raya boleh mengatakan hari raya mereka tidak bermakna?

Saya tertarik dengan kandungan ucapan perutusan Aidiladha oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkaitan dengan ujian kesusahan yang kita hadapi ketika menyambut Aidiladha kali ini.

Menurut beliau apabila Allah swt menguji kita dengan kesusahan dalam melaksanakan ibadah-Nya, maka ganjarannya lebih besar dengan syarat kita bersabar dan reda.

Saya juga teringat sirah bagaimana Saidina Ali Karramallahu Wajha yang sangat gembira jika melalui bulan Ramadan dalam suasana yang panas terik kerana di situ letaknya ganjaran tambahan apabila kita bersabar dan reda.

Begitulah yang dikatakan ‘berniaga dengan Allah swt’ yang pasti untung dan tidak akan rugi. Tidak ada sesuatu yang Allah swt turunkan itu sia-sia, semuanya ada bonus ganjaran yang datang sekali dengan ujian itu.

Sementelah lagi Aidiladha juga dipanggil Hari Raya Korban. Namanya pun sudah cukup menggambarkan ujian dan kesukaran. Itu falsafahnya jika mahu dikaji.

Hari raya Aidiladha dan Aidilfitri adalah ibadah yang diperintahkan oleh Allah swt untuk dilaksanakan. Tidak seharusnya kita mengeluh dan meratap dengan mengatakan Aidiladha kali ini tidak bermakna.

Marilah kita sama-sama menjalani ibadah ini dengan penuh keinsafan dan kesabaran agar kita dikurniakan ‘bonus’ pahala yang dijanjikan Allah swt.

Saya selaku Editor Berita PAS Melaka dan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua umat Islam di seluruh dunia dan semoga segala amalan kita diterima Allah swt.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd!

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka