Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Rentas negeri – dibebas, tapi tidak dilepaskan daripada Covid-19.

227
SHARE

PETANG tadi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri berkuatkuasa esok.

Memang ia sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh ramai rakyat Malaysia. Namun itu bukan bermakna kita juga sudah terlepas daripada ancaman Covid-19.

Memang benar kita sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok. Kadar kes baharu juga sudah berkurang dan berada di bawah 10 ribu kes seluruh negara.

Kita mesti faham bahawa Covid-19 masih wujud di sekeliling kita dan kita terpaksa akui bahawa walau pun kita telah lengkap divaksin namun kita masih boleh dijangkiti Covid-19.

Walau pun pada teorinya dengan vaksin kita hanya akan mendapat simptom yang ringan jika dijangkiti namun ia bergantung juga kepada antibodi kita.

Ada juga antara mereka yang sudah cukup dua dos vaksin tetapi mengalami simptom yang berat. Malah ada juga yang sampai meninggal dunia diserang Covid-19. Itu tidak dapat dinafikan. Namun kes-kes begini sangat sedikit.

Ini tidak bermakna vaksin ini sesuatu yang sia-sia. Vaksin sebenarnya akan mengurangkan peratusan risiko simptom Covid-19 kepada seseorang.

Sebagai contoh, mungkin seseorang itu tanpa vaksin akan mencapai simptom tahap lima apabila dijangkiti, namun kerana ada vaksin dia akan sampai ke tahap dua sahaja.

Atau mungkin ada orang yang tanpa vaksin dia boleh sampai ke tahap dua sahaja jika dijangkiti. Tetapi, mungkin dengan vaksin dia jadi kebal dan tidak akan dijangkiti langsung.

Begitulah peranan vaksin. Ia juga bukan bermakna vaksin itu gagal atau tidak berfungsi. Itu kita kena faham.

Itu belum lagi dengan sifat virus ini yang hidup, dinamik dan mampu bermutasi menyebabkan berlaku kesukaran kepada pihak berkuasa kesihatan untuk memberikan sesuatu fakta yang putus. Ia akan jadi berubah-ubah mengikut perkembangan terkini virus ini.

Apa yang penulis ingin sampaikan ialah walau pun situasi yang sedang berlaku ini menunjukkan seolah-olah kita hampir bebas dari ancaman Covid-19 namun kita perlu terus berhati-hati dan mengekalkan SOP yang kita lakukan selama ini.

Kita perlu sentiasa berjaga-jaga sama seperti kita berjaga-jaga sebelum adanya vaksin dan sebelum tercapainya imuniti kelompok.

Jangan rasa ‘overconfident‘ bahawa kita sudah selamat sehingga kita meletakkan dan mendedahkan diri kita dalam bahaya jangkitan. Kita pun tidak tahu sejauh mana kekebalan kita selepas kita divaksin.

Kita mungkin sudah dibebaskan namun kita belum lagi dilepaskan daripada pandemik Covid-19 ini. Jangan pernah berhenti daripada berhati-hati dan mematuhi SOP.

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM
10 Oktober 21 | 3 Rabi’ul Awwal 1443