DALAM hidup kita ini biasanya kita akan berdoa kepada tuhan untuk perkara-perkara yang kita susah untuk dapat.
Kita nak pergi temuduga kerja. Ada beratus calon, nak pakai seorang. Kita berdoa supaya kitalah seorang yang bernasib baik itu. Kenapa kita berdoa? Kerana bukan senang nak jadi seorang yang terpilih itu. Kita memohon bantuan tuhan.
Kita hidup susah. Tengok orang lain kaya. Kita berdoa agar tuhan jadikan kita kaya macam orang kaya yang lain. Kenapa kita berdoa? Kerana bukan senang untuk jadi kaya. Orang susah ramai, orang kaya tak ramai.
Lumrahnya sesuatu yang menjadi impian itu sukar untuk dicapai dan memerlukan kita berdoa selain bekerja keras.
Dan sepatutnya impian sesebuah parti politik itu pasti bertentangan dengan parti politik yang menjadi musuhnya.
PAS bermusuh dengan Pakatan Harapan (PH). Pasti impian PAS mahu menang dan melihat PH kalah. PH juga bermusuh dengan PAS. Impian PH pasti melihat PAS kalah dan PH menang. Mesti impian itu akan bertentangan.
PH juga ada impian mereka. Mereka mahu sangat-sangat agar tiga parti utama Melayu iaitu PAS, Umno dan Bersatu yang berada dalam dua gabungan iaitu BN dan PN bertanding tiga penjuru. Itu impian mereka.
Jika BN dan PN bertanding tiga penjuru maka peluang mereka untuk menang memang cerah. Mereka sekarang dalam situasi bersatu padu untuk menjatuhkan BN dan PN.
Sepatutnya impian sesuatu parti politik itu akan mendapat laluan sukar daripada parti musuh politiknya. Sepatutnya mereka bekerja keras untuk mencapai impian mereka. Dan mereka harus berdoa siang dan malam agar impian mereka dimakbulkan tuhan.
Namun yang menariknya impian PH ini mendapat jalan mudah apabila Umno baru-baru ini menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu.
Dan nampaknya PH tak perlu bekerja keras dan berdoa agar berlaku tiga penjuru antara BN dan PN. Ini kerana nampaknya kemungkinan besar tiga penjuru akan berlaku apabila Umno menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu. PH belum berdoa lagi sudah makbul.
Nampaknya orang Melayu mungkin kena bersedia menjadi pembangkang semula di Melaka. Mungkin masa itu baru kita mencari semula makna persaudaraan dan perpaduan Melayu yang kita pernah buang ke laut kerana berebut kuasa.
IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM