Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 449 kes sembuh berbanding 260 kes positif baharu

110
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 7 Okt: Sebanyak 449 kes sembuh baharu Covid-19 direkodkan hari ini mengatasi kes positif baharu yang mencatatkan 260 kes.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, ini menjadikan sebanyak 3953 kes masih dirawat, berkurang berbanding 4143 kes semalam dengan 31 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Tambah JKN Melaka lagi, daripada 260 kes positif baharu itu, 254 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kes import A dan empat kes daripada kes import B.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 120 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 23 kes di Daerah Jasin dan 117 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka, hanya satu kes kematian direkodkan hari ini yang dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa lelaki berumur 84 tahun.

Laporan kluster

Tambah JKN Melaka, dua kluster lagi dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Perindustrian Rembia 1 yang telah mengumpul 35 kes positif dan Kluster Jalan Haji Malek 2 yang telah mengumpul 58 kes positif di mana kedua-dua kluster ini adalah kluster tempat kerja.

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini sementara 39 kluster lagi masih aktif.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 9890 kes baharu direkodkan hari ini meningkat berbanding 9380 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,313,727 kes.

Sarawak masih mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1413 kes, diikuti oleh Selangor dengan 1402 kes,
Kelantan (1032), Johor (993), Sabah (820), Perak (794), Pulau Pinang (721) dan Terengganu (699).

Manakala Pahang pula merekodkan 564 kes, Kedah (503), Kuala Lumpur (250), Perlis (200), Negeri Sembilan (180), Putrajaya (59), manakala Labuan pula tiada merekodkan sebarang kes.