Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Perjuangan menyatukan Melayu : sebuah hikayat penuh ranjau

404
SHARE

SAYU hati saya melihat sebuah poster memaparkan wajah sedih Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang yang sedang menyeka air mata kerana memikirkan tentang usaha menyatukan orang Melayu.

Dari kecil lagi saya sudah mendengar ramai orang Melayu yang mahu melihat agar orang Melayu bersatu terutama melibatkan dua parti Melayu iaitu PAS dan Umno. Orang Melayu serabut tengok parti-parti Melayu ini bercakaran sesama sendiri.

Tidak ada siapa menyangka bahawa akhirnya impian ini menjadi kenyataan apabila Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan hilang kerajaan pusat dan hanya tinggal dua kerajaan negeri.

PAS dengan penuh ikhlas mengajak agar Umno bersatu dalam satu gabungan agar dapat sama-sama menggembleng tenaga untuk membela nasib orang Melayu daripada ditindas kerajaan DAP-PH.

Persahabatan yang dihulurkan PAS pada Umno ialah persahabatan paling ikhlas kerana ia berlaku ketika Umno tiada kuasa. Walau pun ada usaha untuk menyatukan PAS dan Umno semasa Umno masih berkuasa namun PAS pada masa itu menolak. PAS tidak mahu dilihat berkawan untuk dapatkan kuasa semata-mata.

Namun penyatuan Melayu sebenar bukan hanya untuk PAS dan Umno sahaja. Terlalu banyak parti Melayu yang tidak duduk dalam satu pasukan akan menyebabkan undi orang Melayu tetap terpecah. Dan akhirnya menyebabkan DAP-PH akan kembali berkuasa.

Jika penyatuan ini hanya melibatkan PAS dan Umno sahaja maka ia tidak akan menjadi penyatuan Melayu sebenar. Tetapi kita tidak pula mahu bersatu dengan Melayu yang menjilat DAP-PH. Mereka yang menyokong DAP-PH adalah pengkhianat Melayu!

Formula kita ialah mana-mana parti yang tidak mahu bersekongkol dengan DAP-PH harus menjadi kawan lebih-lebih lagi parti itu adalah parti Melayu. Bersatu juga mewakili orang-orang Melayu. Mereka juga tidak mahu bersekutu dengan DAP-PH.

Meninggalkan Bersatu hanya akan menyebabkan penyatuan Melayu oleh PAS dan Umno menjadi satu penyatuan eksklusif sahaja dan tidak benar-benar ikhlas untuk masa depan orang Melayu.

Namun apa yang PAS dapat atas usaha ini? PAS dituduh parti pelacur! PAS dituduh main dua kolam! PAS dituduh mengkhianati setiakawan! Dan macam-macam tuduhan lagi.

Memang usaha untuk menyatukan orang Melayu ini sentiasa diganggu oleh Iblis dan syaitan yang sentiasa menghalang orang Melayu dan Islam ini daripada bersatu padu. Namun PAS di bawah teraju Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak akan putus asa untuk perjuangan ini.

Dan perjuangan ke arah usaha ini akan terus menjadi hikayat penuh ranjau.

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM
Ketua Unit Berita dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka