Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | PAS dapat ghanimah, lupa perjuangan?

310
SHARE

AKHIR-AKHIR ini ramai yang mempertikaikan sikap PAS yang kononnya tidak mempertahankan prinsip Islam yang dipegangnya selama ini apabila sudah berada di dalam kerajaan. Ada yang kata pemimpin PAS dah kenyang dengan ghanimah dan lupa dengan perjuangan asal.

Dalam isu pembukaan semula pusat-pusat judi dan pusat hiburan selepas Covid-19 contohnya, ramai yang menyindir terutama dalam kalangan pemimpin dan macai PAN kononnya PAS tak berkata apa dan menikus untuk menjaga jawatan, kata macai-macai PAN itu.

Ini semua seperti yang saya selalu sebut umpama cerita Pak Pandir mati anak. Dia tercicir mayat anaknya yang dikafan dalam gulungan tikar di tengah jalan masa nak kebumikan anaknya itu dalam keadaan dia tak sedar. Sebenarnya dia tanam tikar sahaja.

Kemudian masa nak balik rumah dia ternampak mayat anaknya itu di tengah jalan. Kerana kebodohannya, dia tidak cam yang mayat itu mayat anaknya lalu sampai di rumah dia cakap dekat isterinya Mak Andeh “Janganlah sedih, bukan kita saja mati anak, orang lain pun mati anak juga.”

PAS sama saja macam PAN?

Jadi pemimpin dan macai PAN ini cuba nak bagitahu yang PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini adalah sama macam PAN dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang angguk-angguk geleng-geleng mengikut arahan DAP. Tidak… PAS tak sama bhai!

Ada juga yang kononnya melahirkan rasa pelik mengapa PAS walau pun ada dalam kerajaan tetapi apabila terkait seperti isu judi dan pusat hiburan ini PAS tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan PAS dalam kerajaan. Hanya boleh bantah dan lahirkan kekecewaan sahaja. PAS macam masih pembangkang, katanya.

Yang pertama, kita kena faham walau pun PAS tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan kerajaan, PAS tidak ada kuasa untuk bertindak kecuali ia di bawah bidang kuasa kementerian yang pemimpin PAS menjadi menterinya.

Lesen judi dan polisi membuka kedai judi atau pusat hiburan bukan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air, atau di bawah Bahagian Undang-undang dan Parlimen, atau di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Semua ada salurannya

Walau pun PAS ada menteri tapi Menteri Alam Sekitar dan Air tidak ada kuasa mengeluarkan surat mengarahkan semua pusat judi ditutup serta-merta. Takkanlah tiba-tiba Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Ustaz Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali tiba-tiba dengan letterhead KPPK keluarkan arahan Resort World dengan ini diarahkan tutup operasi? Sudah tentu tak logik.

Kerajaan ada saluran dan prosedur serta bidang kuasa yang perlu dihormati. PAS kena suarakan dalam kabinet. Dalam kabinet, PAS ada tiga orang menteri penuh sahaja daripada keseluruhan 32 orang menteri. Lawan bertumbuk pun kalah rasanya. Inikan pula lawan undi.

Yang kedua PAS tetap bersuara dalam hal ini dan tidak terkunci pun mulut pemimpin-pemimpin PAS dengan ghanimah yang diterima. Pimpinan-pimpinan PAS sentiasa bersuara dan membuat bantahan terhadap segala yang tidak kena dalam kerajaan.

Zaman PH berlaku, zaman PN pun berlaku?

Ramai juga yang kata apa yang berlaku di zaman PH berlaku juga di zaman PN yang PAS ada dalam kerajaan. Contohnya dalam kes Sajat, tetap berlaku juga di zaman PN.

Ada yang kata keputusan mahkamah tentang isu kalimah Allah dan juga tentang larangan memasukkan undang-undang liwat di dalam bidang kuasa agama negeri-negeri berlaku di zaman PN. Kata mereka kalau itu berlaku di zaman PH sudah pasti PH dikecam.

Sebenarnya ia bukan soal berlaku atau tidak. Semua perkara ini boleh berlaku di zaman sesiapa pun. Kalau di zaman PH berlaku pelacuran tak bermakna bila PAS ada dalam kerajaan pula takkan berlaku kes pelacuran.

Yang membezakan ialah bagaimana kerajaan yang PAS ada di dalamnya ini bertindak terhadap isu-isu ini berbanding PAN dan PH. Dan PAS pula terpaksa bertindak dengan penuh keterbatasan.

Terbukti bahawa pada zaman pemerintahan PN tindakan tegas diambil terhadap Sajat sehingga pihak berkuasa agama mengeluarkan waran tangkap kepada beliau kerana gagal hadir ke perbicaraan.

Ini berbeza dengan zaman PH. Berlaku perkara-perkara seperti ini tetapi pemimpin PH terutama PAN yang ada dalam kerajaan malah lunak dengan LGBT. Boleh tengok betapa lunaknya Menteri Agama PH pada masa itu terhadap LGBT sampai nak benarkan pondan guna tandas perempuan. Itu bezanya bhai!

Tindakbalas kerajaan terhadap isu kalimah Allah

Dalam isu penggunaan nama Allah contohnya kerajaan tidak hanya akur dan bersetuju. Kementerian Dalam Negeri sendiri telah bertindak memfailkan rayuan keputusan Mahkamah Tinggi itu ke Mahkamah Rayuan. Agak-agaknyalah, apa yang PH akan buat sekiranya pada masa ini PH yang memerintah?

Kerajaan PN melalui Menteri Agama telah merangka Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2020 hingga 2025 untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama, iaitu termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, dan lapan undang-undang syariah subsidiari. Ini semua sebagai langkah susulan terhadap isu berkaitan agama Islam yang sedang berlaku sekarang.

Kalau nak tengok betul-betul macam mana pemerintahan PAS kena bagi pemimpin PAS jadi PM dan bagi PAS pegang kementerian-kementerian yang berkaitan. Tengok apa PAS boleh buat. Kalau tak ada perubahan juga barulah boleh kata PAS cakap tak serupa bikin. Ada berani?

IBNU JANIE
Editor
Berita PAS Melaka dan WARM
Ketua Unit Berita dan WARM