Home Rencana PAS Melaka

Pena editor Melaka | Mencari pengganti Almarhum Ustaz Ghani dalam AJK PAS Pusat.

76
SHARE

PADA 7 hingga 9 November ini PAS Pusat dijangka akan mengadakan Muktamar Tahunan untuk tahun 2021. Pada tahun ini ada pemilihan di semua peringkat daripada cawangan hingga ke jawatan di peringkat Pusat.

Bercakap tentang pemilihan PAS Pusat, penulis melihat bahawa PAS Melaka perlu memainkan peranan yang lebih menonjol di peringkat ini untuk kali ini. Ini adalah kerana selama ini amat kurang pimpinan PAS dari Melaka yang mendapat tempat di peringkat Pusat.

Pengaruh dan prestasi PAS di negeri-negeri selatan seperti Melaka, Johor dan Negeri Sembilan memanglah tidak hebat seperti negeri-negeri Pantai Timur dan Utara seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dan pola kepimpinan juga biasanya terhasil daripada corak yang sama selaras dengan kekuatan pengaruh PAS di negeri-negeri tertentu. Itu tidak dapat dipertikai.

Jarang juga pemimpin-pemimpin PAS dari Melaka yang dapat mengisi kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat lebih-lebih lagi melalui pemilihan.

Seingat penulis dahulu kita ada Almarhum Ustaz Ab Ghani Ab Rahman yang merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka ketika itu yang berjaya memenangi kerusi AJK PAS Pusat melalui pemilihan selama beberapa penggal.

Almarhum memang seorang pendakwah yang terkenal sebelum memegang jawatan tinggi di dalam PAS. Beliau sebelum itu adalah pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia dan sering dijemput sebagai panelis Forum Perdana Ehwal Islam RTM pada masa itu.

Almarhum Ustaz Ab Ghani Ab Rahman

Populariti Almarhum kemungkinan besar menjadi penyumbang dan tiket untuk Almarhum mendapat sokongan perwakilan ke jawatan itu pada masa itu.

Almarhum tetap memenangi jawatan tersebut walau pun ketika itu kesihatan Almarhum semakin merosot sehingga terpaksa didialisis akibat masalah buah pinggang. Jika tidak silap penulis semasa Almarhum menghembuskan nafas terakhir pada Mei 2014 Almarhum masih bergelar AJK PAS Pusat.

Namun, selepas pemergian Almarhum, tidak ada lagi tokoh PAS Melaka yang dapat menggantikannya untuk menduduki kerusi AJK PAS Pusat yang dimenangi melalui pemilihan sehinggalah sekarang.

Memang semua Pesuruhjaya PAS Negeri adalah secara automatik akan menjadi AJK PAS Pusat. Namun secara tersiratnya kedudukan ini kurang ‘berkuasa’ suaranya dalam AJK PAS Pusat berbanding dengan mereka yang dipilih oleh perwakilan dalam pemilihan.

Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya Perhubungan PAS Melaka memikirkan secara serius bagi menghantar calon-calon yang berpotensi untuk pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat untuk kali ini.

Kita tidak ketandusan calon yang berwibawa, namun kurang diberi peluang untuk ditonjolkan. Kita ada tokoh-tokoh ulama yang berwibawa seperti Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail yang dikenali di seluruh negara malah sehingga ke luar negara.

Kita ada tokoh-tokoh dari kalangan profesional, antaranya pernah berkhidmat di syarikat-syarikat antarabangsa di luar negara selain tokoh-tokoh dalam bidang kewangan, korporat, pendidikan dan lain-lain bidang lagi.

Mungkin juga negeri-negeri Selatan seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan boleh sama-sama dalam usaha untuk menghantar wakil Selatan-Selatan ke peringkat Pusat agar mendapat cukup pencalonan dan sokongan di masa pemilihan nanti.

PAS kawasan-kawasan dalam Negeri Melaka perlu menghantar pencalonan untuk menaikkan tokoh-tokoh PAS Melaka ke pemilihan AJK PAS Pusat ini sebagai langkah awal ke arah itu

Penulis mohon mencadangkan…

IBNU JANIE
EDITOR
Berita PAS Melaka dan WARM

 

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.