Home Berita PAS Melaka

Pena editor Melaka | Kerajaan PN paling banyak membantu rakyat

43
SHARE

PADA 28 Jun lepas, YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebagai bantuan kepada rakyat yang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

PEMULIH yang berjumlah RM150 bilion merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lepas.

Salah satu daripada fokus PEMULIH ialah Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat di mana kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

Pakej bernilai RM150 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM10 bilion itu sangat melegakan rakyat. Malah bantuan kali ini lebih menyeluruh meliputi semua golongan rakyat daripada B40 hingga T20 dan IKS walau pun pihak-pihak yang ingin menjadi hero sebelum ini menuntut hingga M40 sahaja, namun kerajaan bagi hingga T20 dan IKS. Zalim punya kerajaan PN!

Malah kerajaan turut bertindak sangat gentleman dengan memberikan peruntukan bakul makanan sebanyak RM300 ribu pada setiap Ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang. Zalim punya kerajaan PN!

Dengan pakej-pakej rangsangan sebelum ini jumlah rangsangan fiskal atau bantuan tunai yang diberi kepada rakyat ialah sebanyak RM55 bilion. Ditambah dengan suntikan fiskal untuk pakej PEMULIH ini sebanyak RM10 bilion menjadikan jumlah suntikan fiskal yang telah dibuat Kerajaan PN ialah berjumlah RM65 bilion.

Ada yang sibuk kata kalau mereka memerintah mereka boleh buat lebih baik. Iyalah, siapa pun boleh cakap. Tapi belum tentu boleh buat.

Semasa belum jadi Kerajaan Persekutuan semasa kempen PRU14 dulu Lim Guan Eng pun dengan angkuh cakap mereka boleh bagi BR1M lebih banyak daripada BN bagi. Tapi bila mereka memerintah, rakyat disuruh ikat perut dan bagi rakyat ’30 ringek’ saja. Tapi kecoh satu dunia.

Semasa BN memerintah dulu mereka ada bantu rakyat dengan bagi BR1M. Perbelanjaan Kerajaan BN bagi membiayai program BR1M ini mengikut tahun adalah RM2.09 bilion (2012); RM2.90 bilion (2013); RM3.64 bilion (2014); RM5.35 bilion (2015); RM5.36 bilion (2016) dan RM6.31 bilion (2017). Jumlah keseluruhan BR1M untuk enam tahun itu ialah RM25.65.

PH pula memperkenalkan BSH atau ‘Basah’ yang menelan perbelanjaan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2019 dan RM4.7 bilion pada tahun 2020 dengan jumlah keseluruhan RM9.7 bilion.

Jika dicampurkan BRIM dan ‘Basah’ selama LAPAN TAHUN ini jumlahnya ialah RM36.2 bilion. Dan jumlah ini masih belum dapat mengatasi jumlah pemberian bantuan tunai kerajaan PN yang sehingga kini berjumlah RM65 bilion untuk hanya SATU SETENGAH TAHUN.

Malah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang menggantikan ‘Basah’ dalam pembentangan pertama Bajet Kerajaan PN berjumlah RM6.5 bilion, lebih tinggi daripada mana-mana peruntukan tahunan untuk BR1M semasa kerajaan BN atau ‘Basah’ semasa kerajaan PH. Sedangkan pada masa itu Malaysia sedang bergelut dengan bencana Covid-19 dan kesan lockdown pada PKP1.0.

Di saat ada yang mendakwa jika mereka jadi kerajaan mereka boleh buat lebih baik, namun kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin sudah pun membuktikan bahawa kerajaan PN telah pun membantu rakyat. Mereka hanya kata, PN sudah laksanakan.

Ada yang sibuk mengatakan bahawa zaman pemerintahan mereka dahulu lebih baik daripada pemerintahan PN. Sembang!

Tidak ada satu pun kerajaan yang teruji dengan begini dahsyat sejak merdeka melainkan kerajaan PN. Parti lain yang memerintah semasa kerajaan dalam keadaan stabil dan tidak ada bencana, sepatutnya malu untuk mengatakan zaman pemerintahan mereka dahulu lebih baik.

Dalam keadaan kerajaan menghadapi masalah kewangan kerana bencana Covid-19 selama dua tahun ini pun kerajaan boleh bagi bantuan kepada rakyat yang jauh lebih banyak daripada lapan tahun bantuan yang diberikan kerajaan-kerajaan sebelum ini pada hal masa itu mereka bukan dalam bencana. Mana celahnya mereka memerintah lebih baik daripada PN?

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka