Home Artikel PAS Melaka

Pena editor Melaka | Jangan sombong sangat, ingat masa susah dan kalah.

193
SHARE

SAYA bersetuju dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin yang mengatakan bahawa politik toksik dengan memuntahkan fitnah, menggumpal penipuan dan mengancam ugut masih diamalkan oleh politikus berkepentingan diri dan terdesak.

“Ia adalah petunjuk kontang jati diri dan idealisme, serta tiadanya perjuangan luhur untuk menjulang ketamadunan rakyat dan negara,” kata YB Senator Khairil dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Kata YB Senator Khairil lagi, lantaran itu jangan ada yang berperangai jelik turut meneguk racun toksik dengan gertak ugut supaya PAS memilih secara eksklusif persaudaraan politik telah diikat kini. Saf kepimpinan kini wajib terus dipertahankan oleh semua parti dan NGO yang bersama dalam kerajaan kini.

Pada saya semua parti politik Melayu yang tidak mahu bersekutu dengan DAP-PH harus faham bahawa kita mesti berada dalam satu pasukan yang satu dan kukuh untuk melawan DAP-PH yang memang ingin sangat untuk menawan semula Malaysia pada PRU-15 akan datang.

Kita tidak boleh bersikap eksklusif dan memilih-milih dengan siapa kita perlu dan mesti berkawan. Ia akan menyebabkan kita jadi semakin lemah dan DAP-PH semakin menghampiri untuk memerintah kita semula.

Sepatutnya tempoh 22 bulan kita menjadi pembangkang telah menginsafkan kita bahawa soal mempertahankan maruah Islam dan Melayu daripada diinjak-injak oleh DAP-PH bukan soal main-main. Ia bukan satu permainan cuba-jaya atau ‘test market’.

Ini adalah masa untuk kita menyatukan sesiapa sahaja yang tidak mahu duduk bawah pemerintahan DAP-PH untuk bersama-sama dalam satu pasukan.

Formulanya mudah, jika berlaku tiga penjuru antara parti-parti Melayu ini maka DAP-PH akan menang. Jangan kita bagi nyawa pada PH untuk memerintah kerana keegoan dan kesombongan kita.

Kalau kita masih memikirkan kepentingan politik keindividuan parti kita sahaja mungkin kita semua akan sama-sama jadi pembangkang semula lepas PRU-15. Sanggupkah kita?

IBNU JANIE
EDITOR Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka

Jika kau seteru, penaku menjadi peluru…