MAKIN huru-hara situasi politik negara apabila sesetengah ahli-ahli politik Malaysia yang dilihat tiada mempunyai sedikit pun sensitiviti dengan kesukaran rakyat berdepan bencana Covid-19.
Entah syaitan dan jembalang apa yang merasuk ahli-ahli politik ini sehingga mereka nampak tidak sabar-sabar untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Lalu rakyat juga yang mereka jadikan sandaran. Kata mereka rakyat menderita kerana kerajaan sedia ada; rakyat mahu Parlimen bersidang; rakyat mahu darurat ditarik balik. Semua mereka kata kehendak rakyat. Mereka cuba cipta tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk turut desakan mereka kononnya di belakang mereka ada rakyat.
Tamatkan darurat untuk jatuhkan kerajaan
Memang perkara pertama yang mereka perlu lakukan ialah tamatkan darurat. Ini adalah kerana darurat satu-satunya penghalang mereka daripada menjatuhkan kerajaan sekarang.
Sebenarnya apa dosa darurat? Darurat membolehkan pilihan raya ditangguhkan; membolehkan kerajaan membuat undang-undang dan keputusan dengan cepat tanpa perlu menunggu Parlimen; darurat membolehkan kerajaan menggunakan fasiliti hospital swasta; dan darurat membolehkan kerajaan berbelanja lebih untuk melawan Covid-19 secara sah.
Kalau mereka kata rakyat menderita kerana ekonomi ditutup; hilang pekerjaan; hilang pendapatan; tak boleh ke sana ke mari; itu bukan darurat, itu PKP dan total lockdown untuk membendung Covid-19. Memang menderita. Tapi apa boleh buat. Kita dalam ancaman wabak.
Kalau darurat dibatalkan pun lockdown tetap berjalan kerana kita masih dalam ancaman Covid-19. Tak tahulah kalau minggu depan ‘Jajaran Baharu’ ambil alih kerajaan (nauzubillah), rakyat akan boleh merentas negeri; sekolah akan dibuka semula; boleh makan dine-in di restoren; hotel dan resort boleh dibuka dan rakyat boleh melancong semula?
Dan memang darurat ini untuk mengawal situasi politik yang tidak menentu supaya kerajaan boleh memberi tumpuan kepada masalah Covid-19. Jadi darurat tidak menyebabkan rakyat menderita. Yang menderita kerana darurat ialah ahli politik busuk!
Keyakinan tinggi Jajaran Baharu
Dan yakin sangat nampaknya ‘Jajaran Baharu’ bahawa mereka sudah cukup kerusi untuk membentuk kerajaan baharu. Jangan seronok sangat dan jangan yakin sangat!
Yang paling utama pakatan Jajaran Baharu ini tidak akan boleh terlaksana kerana ahli akar umbi tidak akan bersetuju. Hanya pemimpin mereka yang terdesak sahaja yang pandai-pandai berbincang secara sulit. Malah dalam kalangan pemimpin mereka pun terpecah lapan tidak ada satu arah yang solid pun.
Dan jika berjaya bentuk kerajaan nanti siapa yang akan jadi PM siapa jadi TPM? Cikgu jadi PM dan anak murid jadi TPM? Atau cikgu jadi TPM anak murid jadi PM? Kena tengok juga parti mana yang dominan dalam Jajaran Baharu ini. Nanti mengamuk lagi akar umbi parti dominan!
Dengan masing-masing mempunyai perangai semulajadi yang bongkak dan tamak, mereka tidak akan boleh bekerjasama. PAS lebih tahu, sebab semua tu PAS pernah berkawan.
Sebenarnya mereka hanya mahu Parlimen bubar dan berlakunya Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) secepat mungkin. Apabila mereka berjaya mengadakan sidang Parlimen dan berjaya membuat usul undi tidak percaya, ‘Jajaran Baharu’ akan membentuk kerajaan. Tetapi selepas itu mereka akan menghantar usul membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU15.
Kerusi Parlimen ada 222. (Abaikan kerusi yang sudah kosong kerana kematian penyandang). Jika parti-parti non-PN (parti-parti yang menentang PN) ini bergabung mereka boleh sahaja bersama-sama sepakat mengundi tidak percaya pada kerajaan PN.
Iya, mungkin kerajaan PN sudah tidak ada majoriti minimum 112 kerusi. Bayangkan, katalah PN sekarang hanya ada 100 kerusi. Katalah. Andaian sahaja. Jadi non-PN boleh bergabung buat undi tak percaya dengan jumlah 122 kerusi.
Bolehkah Jajaran Baharu membentuk kerajaan?
Walau pun dengan andaian 122 kerusi non-PN itu boleh buat undi tidak percaya, tapi bolehkan 122 kerusi ini membentuk kerajaan dalam keadaan 122 kerusi ini berada dalam kacau bilau, berpatah arang dan tidak sehaluan?
Pakatan Harapan (PH) sendiri sudah tempang dengan PAN dan DAP yang sudah mula tawar dengan cadangan bahawa Anwar sebagai PM. DAP dan PAN sekarang lebih sayang Mahathir daripada Anwar.
Mahathir pula ‘mati hidup balik’ tidak akan menerima Anwar sebagai PM atau TPM. Hatta Anwar sebagai Ketua Backbencher sekali pun Mahathir taknak!
Warisan pula sudah pasti wala’ kepada Mahathir. Sekiranya Anwar berjaya mengajak PAN dan DAP untuk bersama pun mereka tidak akan dapat mengajak Pejuang dan Warisan untuk bersama.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memang tidak boleh masuk dengan PH. Sejarah GPS ini, jika boleh pun, mereka ‘masuk line’ dengan Mahathir sahaja. Tambahan lagi Sarawak nak pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa.
Kalau GPS bergabung dengan Jajaran Baharu sudah pasti mereka letak syarat PH tidak boleh bertanding di Sarawak. Sebab dengan PN pun GPS letak syarat macam tu. Sanggupkah DAP dan PKR Sarawak lepaskan kerusi-kerusi yang mereka dah menang?
Jadi bagaimana Jajaran Baharu hendak membentuk kerajaan dengan minimum 112 kerusi? Apa kesudahannya?
Masa itu nanti, kerajaan lama sudah tiada, kerajaan baharu pula tidak dapat dibentuk. Akhirnya kerajaan akan tergantung.
Bayangkan berapa lama proses ini akan berjalan selepas mereka berjaya menjatuhkan kerajaan PN dengan undi tidak percaya sehingga kerajaan baharu dapat dibentuk?
Akhirnya mungkin ramai rakyat yang akan mati kerana tiadanya kerajaan yang boleh membuat keputusan penting dalam memerangi Covid-19.
Dan akhir sekali lebih ramai lagi rakyat akan mati apabila kerajaan terpaksa membuat PRU-15 di masa-masa Covid-19 sedang mengganas ini. Mereka peduli apa, yang penting mereka dapat jadi kerajaan.
Memang masing-masing sebenarnya nak pilihan raya cepat. Tapi bolehkah kita gunakan sedikit otak dan akal yang diberi tuhan untuk berfikir? Bersabar sedikit. Tunggu Covid-19 reda. Lepas itu kita ‘berperanglah’ dalam PRU15.
IBNU JANIE
• Editor CPP Berita PAS Melaka dan WARM
• Ketua Editor CPP Berita PAS
Isnin 14 Jun ’21 | 4 Zulkaedah 1442
|