Home Artikel PAS Melaka

Pena editor Melaka | Apa tak kena kenyataan TGHA tentang penjawat awam?

108
SHARE

KECOH apabila Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (TGHA) mengeluarkan kenyataan tentang pengasingan kuasa berkaitan dengan penjawat awam. Kenyataan itu tentang pengasingan kuasa tapi yang jadi tajuk besar ialah ‘Presiden PAS arah penjawat awam tidak sokong kerajaan letak jawatan’.

Malah, Adun Permatang Pasir daripada PAN, YB Faiz Fadzil, yang sedang disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul seorang aktivis wanita PKR pada Mac tahun ini turut tumpang sekaki menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang ‘kununnya’ menggesa penjawat awam untuk meletakkan jawatan jika tidak selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai berlebihan dan melampau.

Malah kata wakil rakyat PAN itu, kenyataan Tuan Guru Hadi Awang melanggar undang-undang Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk menyokong mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Ini seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pro-Pakatan Harapan (PH).

 

Ramai yang komen dengan hanya membaca tajuk tanpa membaca teks sebenar yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ini petikan kenyataan beliau :

“Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.

“Jika mereka merasa tidak selesa dengan kerajaan yang bukan daripada parti yang disokong olehnya, secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya.

“Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak profesional yang berasal dari sebuah negeri seperti Kedah. Kemudian, dia menerima tawaran untuk bermain di Selangor kerana ditawarkan dengan bayaran yang lebih mahal.

“Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak negeri Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya. Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.

“Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi.”

Seruan ke arah profesionalisme penjawat awam

Sebenarnya tidak ada apa yang pelik pun dengan kenyataan Tuan Guru Presiden PAS ini. Ia sebenarnya adalah berkaitan dengan profesionalisme. Seorang pegawai kerajaan yang profesional akan mengasingkan antara tanggungjawab tugas hakikinya dengan idealisme politik yang dipegangnya. Itu sahaja.

Tidak ada satu pun kenyataan itu yang bermaksud semua penjawat awam tidak boleh menyokong pembangkang. Anologi tentang pemain bola sepak itu sepatutnya sudah cukup memahamkan.

 

Sekitar tahun 2009 dahulu saya pernah membawa seorang penceramah seorang tokoh PAS dari Perak. Beliau merupakan seorang bekas guru dan berhenti kerja untuk aktif bersama PAS selain kerana tekanan kuat daripada kerajaan BN ketika itu.

Menurut beliau, beliau baru sahaja menyiapkan ijazah sarjananya. Malah kata beliau walau pun beliau aktif sehingga peringkat PAS Pusat namun kerja hakiki beliau sebagai guru sekolah kerajaan telah dijalankan dengan cemerlang. Ini terbukti dengan beliau telah beberapa kali mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) semasa berkhidmat.

Ini yang PAS tekankan daripada dahulu lagi. Prinsip ini tidak pernah berubah. Sebagai contoh, walau pun ada kandungan dalam sistem pendidikan yang tidak dipersetujui oleh PAS namun PAS tidak pernah mengeluarkan arahan kepada semua guru-guru yang menyokong PAS supaya jangan ajar perkara itu kepada murid-murid di sekolah.

Sebagai contoh, katalah guru-guru yang penyokong PH menganggap Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan seperti yang diperjuangkan parti yang mereka sokong iaitu PH. Sedangkan di dalam silibus dinyatakan bahawa PKM adalah pengkhianat dan pengganas.

Lalu guru-guru ini mengikut arahan PH dan memberitahu pelajar-pelajar bahawa PKM adalah pejuang kemerdekaan. Bagaimana pelajar-pelajar ini nak menjawab perperiksaan? Mungkin pelajar ini yang menjawab mengikut skema guru ini akan gagal dalam perperiksaan. Inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tiada arahan wajib sokong parti kerajaan

Baca semula kenyataan Tuan Guru Presiden PAS, tidak ada satu pun kenyataannya yang memaksa kakitangan kerajaan supaya menyokong parti Perikatan Nasional (PN) yang memerintah. Ini tidak seperti yang pernah berlaku pada regim-regim yang pernah memerintah Malaysia dahulu.

Saya teringat betapa akujanji yang telah dibuat oleh regim lama dahulu telah membodohkan orang-orang yang cerdik. Seorang rakan saya yang isterinya seorang terpelajar, seorang pensyarah di sebuah IPTA menyatakan kepadanya yang sebagai penjawat awam dia wajib mengundi parti kerajaan. Begitu sekali!

Sedangkan hakikatnya setiap rakyat Malaysia malah anggota tentera pun berhak untuk memilih dan mengundi sesiapa yang mereka suka. Sebab itu mereka juga boleh mengundi. Jika mereka tidak ada kebebasan dan wajib menyokong parti kerajaan maka lebih baik mereka tidak dimasukkan dalam senarai pengundi.

Ingat lagi semasa PH menjadi kerajaan dahulu tersebar kisah ada seorang menteri PH yang mengadakan pertemuan kali pertama dengan pegawai-pegawai tinggi sebuah kementerian dengan menempelak pegawai-pegawai ini dengan berkata “Saya tak percaya kamu semua! Kamu semua Umno!”

Naib-naib Censelor IPTA ditukar kepada orang-orang yang benar-benar menyokong PH. Dan kesannya ada sehingga sekarang. Sehinggakan baru-baru ini seorang menteri Kerajaan Pusat daripada PAS tidak dibenarkan memberikan tazkirah di sebuah IPTA di Melaka kerana difahamkan Naib Censelornya totok PH. Ini sangat tidak profesional!

Masa PH baru mentadbir kerajaan dahulu, mengapa buang beribu-ribu orang pegawai JASA? Mengapa tidak kekalkan walau pun mereka daripada Umno jika PH sangat demokratik dan adil serta mendukung hak kebebasan rakyat Malaysia berpolitik? SEMBANG!!!

Jadi kepada regim-regim lama yang sibuk mengecam kenyataan Tuan Guru Presiden PAS ini lebih baik sedar diri dan sedar ruang sebelum mengecam. Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanya mahu semua penjawat awam bersifat profesional. Bukan menjadi pemimpin kuku besi memaksa kakitangan kerajaan menyokong PN!

IBNU JANIE
EDITOR
CPP Berita PAS Melaka dan WARM
Jabatan Penerangan PAS Melaka

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .