GALAK juga nampaknya pihak-pihak yang menyindir penganugerahan gelar dan darjah kebesaran yang diterima oleh ahli-ahli politik sempena sambutan Hari Wilayah 2021 baru-baru ini.
Yang paling ‘cliche’ ialah pertanyaan ‘apa jasa-jasa mereka sehingga mereka dapat Datuk?’. Mudah sangat untuk mengungkapkan pertanyaan itu. Sehingga kita lupa bahawa bukan semua perkara tentang orang lain itu sentiasa dalam pengetahuan kita.
Yang paling buruk ialah jika orang yang kita pertikaikan itu adalah seorang yang selama ini sangat berahsia dengan jasa-jasa dan amal baik mereka.
Orang yang berjasa itu bagus. Sesetengah orang menguar-uarkan jasa mereka kepada orang ramai. Atau pun ada orang yang tahu, lalu menyebarkan perihal jasa mereka itu kepada orang lain. Lalu terkenallah seseorang itu dengan jasa-jasanya.
Tak mengapalah. Tidak perlu pertikai keikhlasan mereka pula. Itu soal mereka dengan Allah swt. Yang penting mereka sudah pun berjasa. Itu bagus!
Namun ada orang-orang yang senyap-senyap banyak berjasa dan mereka pula sentiasa menutup jasa-jasa mereka daripada diketahui oleh orang ramai demi menjaga keikhlasan. Ini yang terbaik! Mungkin ada pihak yang tahu tentang jasa-jasa ‘wira tak didendang’ ini lalu mencadangkan agar mereka diberi anugerah.
Soal samada seseorang itu baru sahaja sebulan atau dua bulan atau tiga bulan menjawat jawatan dalam kerajaan bukan juga persoalannya. Tidak pernah dinyatakan pun bahawa anugerah dan darjah yang dikurniakan itu untuk mengenang jasa seseorang di dalam kerajaan semata-mata.
Sebelum seseorang ahli politik itu menjawat jawatan dalam kerajaan mungkin dia sudah lebih lama menjadi pemimpin masyarakat tanpa jawatan kerajaan.
Pimpinan PAS terutama di negeri-negeri yang tidak menang seperti Melaka sudah mempunyai pimpinan silih berganti yang berkhidmat dalam masyarakat dalam ruang lingkup pembangkang. Banyak jasa mereka. Banyak juga duit dan harta peribadi mereka habiskan untuk membantu rakyat.
Hakikatnya ramai pemimpin PAS itu sudah berpuluh tahun bergiat dan berjuang dalam PAS dan mencurah jasa dalam masyarakat dengan duit sendiri dan sumbangan peribadi ahli dan penyokong PAS.
Jasa mana lebih besar antara duduk dalam kerajaan dan memberi bantuan kepada rakyat ke sana sini dengan duit kerajaan atau dengan duit sendiri? Mana lebih susah? Itu yang mereka lalui sebelum mereka bergelar Menteri yang tak ramai orang tahu. Jasa mereka semasa jadi Menteri itu hanya ‘tips of iceberg’.
Pemimpin-pemimpin PAS pun bukan jenis mengungkit-ungkit dan mengheboh-hebohkan jasa mereka. Namun sindiran-sindiran pada pimpinan kami ini sedikit melukakan hati kami yang tahu tentang pengorbanan dan jasa-jasa pimpinan kami.
Tahniah buat semua yang dianugerahkan dengan pingat dan darjah kebesaran sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021. Biar jasa jadi kenangan…
YB Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Bin Shaary
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YB Datuk Haji Awang Bin Hashim
Timbalan Menteri Sumber Manusia
YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Mohamed@Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi
IBNU JANIE
• Editor WARM & CPP Berita PAS Melaka
• Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.
Agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN
|