Home Berita PAS Melaka

Pemuda Tangga Batu ziarah anggota AMAL kena serangan jantung

324
SHARE

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU, 11 Jan: Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Tangga Batu telah menziarahi seorang anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) kawasan ini, Zahar Yunos yang terkena serangan jantung pada Sabtu lepas.

Ziarah yang berlangsung semalam itu telah disusun Lajnah Kebajikan DPPK Tangga Batu dan turut disertai oleh Ketua Pemudanya, Kamarul Ariffin.

Zahar ketika ditemui berkata, perkara ini berlaku mungkin berpunca kerana dirinya yang keletihan melalui beberapa misi bantuan banjir yang berturut-turut.

“Mungkin letih sangat. Ikut misi bantuan banjir yang berterusan. Mula-mula Misi Bantuan Banjir di Lubok China. Lepas tu ke Selangor, lepas tu pula ke Temerloh. Kemudian balik ke Melaka balik

“Sebelum mula Misi Bantuan Banjir hari tu, terlibat dengan Kembara Amal Road to Selama Perak pada 17 sampai 19 Disember tahun lepas,” ujar beliau.

Zahar juga pernah mendapat rawatan berkaitan jantung dan asma sebelum ini, namun ia tidak menjadi penghalang untuk beliau turun bersama-sama dengan para petugas dalam menjalankan misi dan bantuan yang telah disusun.

Beliau ketika kejadian serangan jantung itu baru-baru ini telah dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans dan telah mendapat rawatan segera bagi menangani penyakit yang beliau hidapi itu.

Sementara itu Ketua DPPK Tangga Batu, Kamarul Ariffin berkata, beliau dan seluruh Ahli Jawatankuasa DPPK Tangga Batu mendoakan agar Zahar segera sembuh.

“Sama-sama kita doakan agar abang Zahar cepat sembuh dan pulih balik seperti sedia kala.

“Kepada sahabat-sahabat di luar sana yang ingin membantu meringankan beban beliau saya alu-alukan untuk mereka menghulurkan bantuan kepada beliau,” ujarnya.

Tambah Kamarul lagi, bagi memastikan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan ini dapat terus dilaksanakan, semua pihak diseru untuk bersama-sama menyertai JAM samada sebagai ahli mahupun sukarelawan bagi meringankan beban yang dipikul.

“Seperti kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan dijinjing sama. Sekiranya lebih ramai para petugas yang terlibat, kerja-kerja akan menjadi semakin mudah dan bertambah seronok apabila dapat menjalinkan ukhuwah sesama para petugas.

“Berdasarkan situasi yang berlaku pada hari ini, kita melihat bahawa kerja-kerja sukarelawan seperti ini, sudah semakin aktif bergerak dan lebih ramai mangsa yang dapat dibantu,” kata beliau.

Tambahnya lagi, seperti yang berlaku di Masjid Tanah, ada beberapa buah rumah yang dibantu pada kali ini, sudah beberapa kali dilanda banjir, namun baru menerima bantuan pada kali ini.