Home Berita PAS Wilayah

Muslimat PAS Wangsa Maju, Srikandi Bersatu perkukuh silaturahim

121
SHARE

Oleh MUHAMAD ABDUL FATEH

WANGSA MAJU, 11 Jan – Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju dan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Wangsa Maju mengadakan pertemuan di Markaz PAS Kawasan Wangsa Maju 2 Januari lalu.

Pertemuan santai ini merupakan salah satu usaha bagi memperkukuh hubungan baik bersama rakan parti dalam Perikatan Nasional khususnya di Wangsa Maju.

Delegasi Dewan Muslimat PAS Wangsa Maju diketuai ketuanya, Asiah Mohd Baki manakala Srikandi PPBM Wangsa Maju diketuai oleh Datin Sri Lynda Hamid.

“Saya merasa sangat terharu atas semangat ukhwah yang dizahirkan oleh semua wakil Srikandi PPBM yang hadir,” ujar Asiah ketika ditanya tentang majlis berkenaan.

Beliau juga menyatakan kepentingan menjaga ukhwah dan silaturrahim antara semua ahli dan masyarakat bukan hanya dalam situasi politik sahaja tetapi juga dalam segala hal terutamanya berkaitan kebajikan orang sekeliling.

Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Wangsa Maju, Datin Sri Lynda Hamid dalam ucapannya mengharapkan agar aktiviti berbentuk kewanitaan di kawasan Parlimen Wangsa Maju dapat dijayakan dengan kebersamaan gandingan tenaga Muslimat PAS Wangsa Maju dan pihak NGO serta rakan muafakat di bawah Perikatan Nasional secara kolektif.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Binti Adam serta pimpinan Dewan Muslimat PAS Wangsa Maju dan Srikandi Bersatu Wangsa Maju.