Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH – Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Abu Naufal bin Samsudin mempelawa ibu bapa di dalam DUN Taboh Naning agar menghantar anak-anak mereka belajar di Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Masjid Tanah yang akan mula beroperasi tahun depan.
Ustaz Abu Naufal berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program Kembali Ke Sekolah’ anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) PAS Taboh Naning dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah (DPPKMT) yang diadakan di Kedai Imam Halim Taboh Naning semalam.
Ustaz Abu Naufal yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah menjelaskan bahawa kelas pembelajaran SRITI tersebut yang terletak di Kampung Londang Masjid Tanah akan bermula dari 8 pagi hingga 5 petang. SRITI ini juga menawarkan akademik, agama, ko-kurikulum dan kemahiran hidup yang bakal memantapkan jatidiri seseorang pelajar.
Untuk rekod SRITI adalah sekolah rendah di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS merupakan lanjutan daripada program PASTI yang telah terbukti berjaya mendidik tunas Islam selama ini.
Sementara itu seramai 21 orang pelajar telah mendapatkan khidmat gunting rambut percuma dalam program ini. Program gunting rambut percuma yang dikelolakan oleh DPPKMT sempena program Kembali Ke Sekolah ini terbuka kepada pelajar-pelajar dari sekolah tadika hingga ke sekolah menengah.
Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz, Ketua Penerangan MTD Taboh Naning, Mohd Taro Jaafar, Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Melaka, Dr Azman Yusof AJK MTD Taboh Naning.