Home Berita PAS Kelantan

Pemuda PAS bantah tukar fungsi IPG

690
SHARE

PEMUDA PAS Kelantan tidak menolak kemungkinan mempersembahkan memorandum bagi membantah pertukaran fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan kerajaan mahu menukar fungsi IPG di Kelantan tidak mengambil kira kepentingan rakyat di negeri tersebut.

“Daripada 27 IPG seluruh negara yang ada sekarang, Kelantan yang hanya ada sebuah sahaja, namun turut terlibat dengan penukaran fungsi.

“Sedangkan di Kelantan bilangan permohonan memasuki IPG begitu tinggi,” katanya selepas menyerah memorandum tersebut Pengarah IPG Kota Bharu di Pengkalan Chepa hari ini.

Ketika persidangan parlimen baru-baru ini anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof mempersoalkan tindakan kerajaan menukar peranan beberapa IPG kepada kolej vokasional dan politeknik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memberitau sembilan daripada 27 kampus IPG di seluruh negara akan ditukar kepada kolej vokasional dan politeknik.

Ahmad Fadhli juga berkata, memorandum itu mewakili suara rakyat Kelantan yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan.

“Setidak-tidaknya mengekalkan satu-satunya IPG di Kelantan sebagai pengiktirafan kepada anak negeri yang menyumbang kepada jumlah permohonan calon guru paling ramai di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2017