Home Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pemuda PAS Bantah Pelantikan Eric Paulsen, Desak Dikeluarkan Segera

1673
SHARE

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

PEMUDA PAS BANTAH PELANTIKAN ERIC PAULSEN, DESAK DIKELUARKAN SEGERA

15 Jun 2020 | 22 Syawal 1441 H

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (Pemuda PAS) mengambil maklum perlantikan Saudara Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) yang baru sahaja dibentuk dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

2. Pemuda PAS ingin menyatakan kekesalan atas pelantikan ini. Eric Paulsen begitu dikenali sebagai seorang yang lantang mempersoalkan ajaran Islam dan kedudukannya sebagai agama Persekutuan, serta kenyataan keras yang mengundang resah dikalangan rakyat Malaysia.

3. Sekalipun kedudukan beliau hanyalah sebagai ahli mesyuarat, ia tetap memberi kesan kerana MPKM adalah majlis yang membincangkan berkenaan polisi dan dasar KKMM, sekaligus dasar kerajaan Malaysia. Ideologi yang beliau anuti dan pemikiran beliau sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada dasar dan polisi tersebut. Ia sudah pasti bertentangan dengan matlamat dan halatuju Perikatan Nasional lantas menjadi suatu barah yang akan merosakkan Perikatan Nasional serta Kerajaan Malaysia.

4. Justeru, Pemuda PAS berpendapat pelantikan beliau adalah sangat tidak bersesuaian, lebih-lebih lagi di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang menolak pendekatan liberal yang ekstrem dan sinis terhadap Islam sebagai agama Persekutuan serta tidak menghormati asas-asas kontrak sosial yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

5. Oleh yang demikian, Pemuda PAS membantah sekeras-kerasnya pelantikan tersebut serta mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah agar menarik balik pelantikan Eric Paulsen serta merta. Pemuda PAS percaya masih ramai yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

6. Pemuda PAS ingin mengingatkan bahawa kami akan terus berperanan untuk memastikan tiada ruang buat mereka yang berideologi liberal ekstrem dan lantang menentang Islam untuk berada dalam mana-mana platform kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Malaysia umumnya.

AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

#PemudaPAS
#DemiIslam
#KitaJagaKita