Home Dewan Pemuda PAS Malaysia

Amerika Syarikat – Regim Israel Pengkhianat Nombor Satu Keamanan Asia Barat

959
SHARE

Amerika Syarikat – Regim Israel Pengkhianat Nombor Satu Keamanan Asia Barat

“ Deal Of The Century “ yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Rumah Putih semalam adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Palestin dan keamanan di rantau Asia Barat. Pelan damai Asia Barat yang diwar – warkan mampu memberikan solusi keamanan kepada rantau Asia Barat serta memberikan Palestin sebuah negara yang merdeka sebenarnya adalah palsu belaka dan merupakan kesinambungan manifestasi barat terhadap Deklarasi Belfour yang diumumkan pada 2 November 1917.

Deklarasi Belfour adalah ikrar British yang berjanji akan mewujudkan satu negara buat bangsa Yahudi di rantau Asia Barat ketika perang dunia pertama dahulu.Namun kali ini, bukan sahaja Deal Of The Century menyambung tali hayat ikrar British yang mahu mewujudkan sebuah negara buat bangsa Yahudi tetapi turut juga memastikan cita-cita zionis Israel dan Kristian Evangelikan yang mahu mewujudkan sebuah negara Israel Raya tercapai.

Pelan Damai Asia Barat yang digelar Deal Of Century yang diumumkan Presiden Donald Trump semalam bersama Perdana Menteri Regim Israel Benjamin Netanyahu adalah berat sebelah dan langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat Palestin. Bukan sahaja ia melanggar undang – undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu, ia juga turut merobek kedaulatan Jordan dan Syria dengan memasukkan Lembah Jordan dan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Syarat pelan damai tersebut yang dikenakan ke atas Palestin adalah tidak masuk akal dan membuktikan Amerika Syarikat dan Israel sebagai pengkhinat kepada keamanan Asia Barat. Diantara syarat utama pelan damai tersebut ialah wilayah Palestin yang ditawan oleh Regim Israel semenjak perang Arab – Israel 1948 tidak diserahkan kembali kepada Palestin manakala penempatan haram penduduk Israel turut kekal sebagai sebahagian daripada wilayah Israel. Baitul Muqaddis kekal sebagai ibu negara Israel sebagaimana yang diumumkan Donald Trump pada Disember 2017.

Sebagai gantirugi kepada tanah yang diambil dari wilayah Palestin, sebuah kawasan gurun di sempadan Palestin – Mesir akan diberikan kepada Palestin untuk didirikan penempatan dan kemungkinan dijadikan negara Palestin. Israel juga akan terus kekal menguasai soal keselamatan di seluruh wilayah Palestin dengan Pihak Berkuasa Palestin samada di Semanjung Gaza dan Tebing Barat tidak dibenarkan mewujudkan tentera untuk mengawal keselamatan. Hamas perlu dilucutkan hak sebagai pemerintah Tebing Barat dan dibubarkan.

Namun bayang sebuah negara Palestin yang dijanjikan dalam pelan damai tersebut adalah palsu belaka dengan tidak menetapkan sebarang tarikh mahupun pelan untuk negara tersebut. Yang ada hanyalah sebuah cadangan yang nyata belum pasti sebagaimana yang berlaku sebelum ini. Ternyata pelan damai tersebut hanyalah sebuah pelan untuk menguatkan cengkaman Regim Israel ke atas wilayah Palestin dan menguatkan pengaruhnya di rantau Asia Barat.

Itu adalah di antara syarat – syarat utama pelan damai tersebut yang sudah tentu memihak kepada Regim Israel dan menindas Palestin dan penduduknya. Dunia Islam seharusnya bersatu menentang kezaliman Regim Israel dan Amerika Syarikat ke atas Palestin dan rakyatnya. OIC mahupun Liga Arab harus bertindak segera menentang pelan damai tersebut dan membantu Palestin dan rakyatnya, bukan lagi berpeluk tubuh melihat seperti sekarang. Sedihnya, terdapat negara dari kalangan Dunia Islam di rantau Asia Barat hadir pada pengumuman pelan damai tersebut. Moral dan kekuatan Dunia Islam sudah tersungkur di kaki Regim Israel.

Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri harus mengutuk malah mendesak Amerika Syarikat mahupun Regim Israel untuk tidak merealisasikan pelan damai tersebut. Dunia harus bertindak mengutuk kezaliman ini. Tindakan Amerika Syarikat menghalalkan perbuatan terkutuk Regim Israel membuktikan sikap impirealisma Amerika Syarikat yang bertindak sesuka hati tanpa memperdulikan dunia. Israel harus berundur dari kesemua wilayah Palestin dan keluar dari Asia Barat. Dunia Islam harus bersatu menentang Regim Israel kerana Regim Israel adalah musuh nombor satu Dunia Islam.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.