Home Berita PAS Kelantan

Pemilik jual premis menempatkan pejabat PAN

13100
SHARE

PEMINDAHAN milik hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor berlaku selepas pemiliknya menjual lot terbabit kepada pihak lain.

Difahamkan penjualan dibuat bagi menyelesaikan urusan tuntutan pusaka dan perkara lain yang berkaitan.

Oleh itu tidak timbul dakwaan Adun Salor, Datuk Husam Musa dihalau keluar daripada bangunan tersebut memandangkan pemimpin PAN itu bukan pemilik hartanah terbabit.Sumber PAS Kelantan memberitahu isteri arwah Rosli Ibrahim, Hanipah Dollah ada memaklum kepada seorang anggota keluarganya bagi menjual tanah tersebut.

Ekoran itu katanya, PAS negeri dimaklumkan mengenai hasrat pemiliknya menjual hartanah terbabit dan persetujuan dibuat dengan dijual pada harga RM700,000.

“Urusan pindah milik diselesaikan 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluar pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosongkan premis dalam tempoh sebulan.

“Notis pengosongan beberapa kali dihantar namun tiada sesiapa di premis berkenaan. Ini menyebabkan notis pengosongan ditampal di pagar pada Khamis lepas,” katanya di Kota Bharu.

Ekoran arahan pengosongan tersebut, Adun PAN Salor dilapor akan mencabar arahan mengosongkan bangunan itu yang dinamakan Wisma Tok Guru.

Husam memberitahu beliau akan memfailkan kes berkenaan di mahkamah selepas menerima notis.

Sumber terbabit juga memberitahu urusan penukaran nama pemilik dibuat di rumah Hanifah memandangkan beliau masih dalam endah selepas kematian suaminya.

“Adalah tidak berbangkit ada konspirasi terhadap jual beli hartanah tersebut kerana ia sah dari sudut undang-undang,” ujarnya.

Menurutnya juga pemilik baru hartanah tersebut akan mendapat perintah mahkamah selepas berakhir notis pengosongan bangunan itu dalam tempoh 30 hari selepas notis dihantar. – HARAKAHDAILY 19/10/2017