Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Pemilihan Parti: Prinsip Kita Yang Tidak Difahami Oleh Musuh

707
SHARE

PEMILIHAN PARTI: PRINSIP KITA YANG TIDAK DIFAHAMI OLEH MUSUH.

Oleh: Zaharudin Muhammad.

Masih berbaki sekitar lima hari sebelum bermulanya muktamar dan kali ini adalah tahun pemilihan. PAS masih boleh meneruskan muktamar pemilihan sekalipun hampir dengan Pilihanraya Umum (PRU) di mana sebahagian besar parti menangguhkan muktamar, perhimpunan atau konvensyn masing-masing kerana dibimbangi wujudnya pertelingkahan akibat pemilihan yang akhirnya memberikan kesan kepada PRU. Menariknya, PAS boleh meneruskan pemilihan dan diyakini tiada pergaduhan yang memberikan kesan kepada PRU apabila justeru beberapa prinsip yang dipandu oleh hukum syariat yang kita amalkan. Antara prinsip yang saya maksudkan ialah:

PRINSIP PERTAMA: Menyedari kepimpinan adalah amanah.

Kita menyedari bahawa amanah kepimpinan bukan sesuatu yang mulia bahkan ianya bersifat tanggungjawab yang berat. Untuk menghadam sifat ini, maka kita mestilah mengingati beberapa pesanan dan amaran nabi saw:

Maksudnya: Tiada seseorangpun dilantik untuk memimpin pengikut yang melebihi 10 orang melainkan didatangkan mengadap Allah pada hari kiamat dalam keadaan tangannya dibelenggu ke tengkuknya. Dia akan dilepaskan jika adil dan ia akan binasa jika sebaliknya. Permulaannya kekejian, pertengahannya penyesalan dan pengakhirannya adalah kehinaan pada hari kiamat. – (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad).

Dan sabda nabi SAW:

Maksudnya: Wahai Abu Zar! Kamu lemah dan jawatan itu adalah amanah. Sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan (bagi tuannya) pada hari kiamat melainkan orang-orang yang melaksanakannya dengan benar dan menunaikan tanggungjawabnya. – (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim).

Secara asas, jawatan disifatkan oleh nas sebagai penyesalan, kehinaan dan kekejian serta semuanya dihadapkan di hadapan Allah dalam keadaan dibelenggu. Apabila didatangkan golongan yang amanah dalam bentuk pengecualian, maka ini menunjukkan peratusan mereka yang tidak berjaya dalam melaksanakan amanah jawatan itu sangat ramai. Manakala golongan yang berjaya pula amat sedikit kerana mereka disifatkan sebagai golongan yang dikecualikan.

Hadis-hadis di atas menjadikan setiap kita yang beriman mempunyai menolak jawatan pada asasnya, jauh sekali untuk merebutinya. Hadis-hadis ini juga menjadi penawar bagi penyakit suka merebut jawatan  dan sifat suka menjadi pemimpin.

PRINSIP KEDUA: Menerima dan menolak sesuatu perlantikan ke jawatan tertinggi kerana kefahaman.

Menurut hukum fekah, hukum menerima dan menolak jawatan adalah bergantung kepada keadaan. Kadangkala ianya wajib ditolak seperti apabila lawannya itu adalah orang yang sangat tidak layak seperti fasiq atau jahil. Kadangkala ianya harus apabila lawannya itu sama layak dengannya. Kadangkala ianya haram apabila lawannya itu jauh lebih layak daripadanya. Bagi merealisasikan prinsip kedua ini, maka setiap kita perlu mendalami syarat-syarat kepimpinan dalam Islam dan menyedari hakikat kemampuan diri dan kemampuan lawannya dalam pemilihan.

Dalam keadaan bukan keperluan, takut kepada amaran-amaran dalam hadis yang dinyatakan dalam prinsip pertama adalah faktor utama kenapa kita tidak merebut jawatan. Prinsip inilah yang mendorong Saidina Umar menolak cadangan supaya anaknya Abdullah dilantik sebagai khalifah selepasnya dengan menyebut: cukuplah Umar seorang sahaja dari kalangan keluarga Al-Khattab yang diheret (dalam keadaan dibelenggu) dihadap Allah pada hari kiamat.

Dalam keadaan keperluan seperti lawan kita adalah seorang yang tidak layak, maka menarik diri adalah tidak bertepatan dengan syariat. Keadaan ini dapat kita lihat dengan jelas apabila nabi Yusof meminta jawatan menteri kewangan di zaman beliau sebagai mana disebutkan di dalam Al-Quran:

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya” – (Yusof: 55)

PRINSIP KETIGA: Berusaha memenangkan lawan.

Dalam keadaan kelayakan yang sama atau hampir sama di kalangan calon yang ada, maka menarik diri bukanlah satu sifat yang mulia sekalipun ia bukanlah satu sifat yang hina. Bahkan sifat tidak menarik diri dan membiarkan ahlu al hilli wa al iqdi (pemilih atau pengundi dalam konteks sekarang) memilih dan mengundi adalah sifat terbaik.

Contoh ini kita dapat lihat dengan jelas sewaktu perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Apabila para sahabat sebulat suara bersetuju bahawa bangsa Quraish sebagai kriteria kelayakan pengganti Rasulullah SAW, maka Saidina Abu Bakar yang sebelum ini bertegas dengan Quraisy adalah paling layak tidak menyatakan dirinya paling layak sekalipun beliau daripada bangsa Quraisy. Sebaliknya berlaku kempen mengempen untuk memenangkan calon lawan dalam peristiwa pemilihan pemimpin selepas wafatnya Nabi SAW yang berlansung di Saqifah Bani Saaidah ini.

Dalam kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Hisyam, Al-Yaakubi dan lain-lainnya berkenaan kisah perlantikan ini secara panjang lebar. Tatkala semua sudah bersetuju sebulat suara bahawa kriteria kelayakan bagi pengganti Rasulullah adalah daripada bangsa Quraisy, maka Saidina Abu Bakar berkata: “aku bersetuju saidina Umar Al-Khattab dan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah menjadi pemimpin. Ini adalah Saidina umar Al-Khattab yang rasullullah pernah memujinya dengan berkata: Ya Allah! Kuatkan Islam dengan Islamnya Umar. Ini pula Abu Ubaidah Al-Jarrah yang Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai Amin untuk umat ini. Maka aku meminta kamu berbaiah (melantik) salah seorang daripada kedua sahabat ini.” Saidina Umar dan Abu Ubaidah yang dicadangkan oleh Saidina Abu Bakar enggan menerima cadangan tersebut untuk menjadi pemimpin seraya berkata: “Demi Allah, kami tidak pernah mendahului kamu wahai Abu Bakar. Kamu sahabat Rasulullah yang bersusah payah berhijrah berdua-duaan dari Mekah ke Madinah. Kami lebih redha untuk kamu memimpin dunia kami sebagaimana Rasulullah telah redha untuk kamu memimpin solat kami (ketiga baginda sakit).” Akhirnya Abu Ubaidah memegang tangan Saidina Abu Bakar berbaiah, disertai Saidina Umar dan akhirnya semua sahabat yang hadir sebulat suara berbaiah menerima Saidina Abu Bakar sebagai khalifat selepas wafatnya nabi SAW.

Inilah prinsip dan suasana yang ingin kita corakkan di dalam parti kita PAS semoga pemilihan-pemilihan parti berjalan dengan baik dan harmoni.

PRINSIP KEEMPAT: Kalah Bersyukur dan Menang beristighfar.

Asasnya, seseorang muslim itu mestilah merasa takut dengan ancaman-ancaman dan balasan-balasan akhirat ke atas pemimpin yang tidak amanah dan tidak jujur. Mereka juga perlu menyedari bahawa pemimpin yang berjaya melepasi piawaian adil dan pelaksana tanggungjawab menurut Islam amatlah sedikit berbanding yang gagal dan diheret dalam keadaan tangan dibelenggu ke tengkuk pada hari kiamat. Akibat ketakutan ini, seseorang muslim yang beriman akan merasa syukur apabila kalah di dalam pemilihan atau pertandingan merebut sesuatu jawatan kepimpinan.

Pun begitu, jika dilantik dan memenangi pemilihan, menolaknya selepas dipilih secara sah menurut syariat adalah sifat yang tidak bertanggungjawab justeru rasul-rasul, para ulama dan salafussoleh adalah khalifah-khalifah dan pemimpin tertinggi dan mereka tidak menolaknya selepas dilantik secara sah. Menyedari menolak jawatan selepas pemilihan yang sah adalah sikap tidak bertanggungjawab dan menerimanya pula pasti akan disertai kelemahan dan kekurangan, maka pada masa itu istighfar adalah ubatnya.

Meletakkan hadis bahawa pemimpin yang adil adalah salah satu daripada tujuh golongan yang diberikan naungan oleh Allah di padang Mahsyar pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah, maka seseorang muslim yang baik akan berusaha bersungguh-sungguh setelah dilantik untuk mencapai tahap ‘pemimpin yang adil’ untuk memperolehi naungan di padang mahsyar.

PRINSIP KELIMA: Buang ego dan ingat akhirat.

Kadangkala kita memuji melangit orang yang menang dengan majoriti yang besar dan kadangkala lahir pelbagai syak wasangka sehingga tercipta persepsi dan berita-berita salah disebalik sebab musabab kekalahan teruk seseorang. Tambahan pula, musuh memainkan peranan menghina golongan yang kalah dalam pemilihan parti melalui media-media awam yang dimiliki mereka menjadikan sikap ego akhirnya menguasai seseorang calon pemilihan. Kesannya, mereka berusaha memenangkan diri, bukan untuk mencapai target ‘pemimpn yang adil’ dan bukan juga kerana ‘gila jawatan’, bukan kerana ingin dilihat hebat, tetapi semata-mata kerana takut dikata dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan akibat kekalahan.

Maka sebagai seorang muslim yang beriman, kita hendaklah mengubati penyakit ini dengan memperbanyakkan menghayati nas-nas diatas. Kita perlu menginsafi bahawa, menang dunia yang dipandang mulia ini mungkin akan menjadi sebab kepada kita akan dipandang hina pada hari kiamat. Kita juga perlu menyedari, setiap tohmahan, tuduhan, wasangka dan tembakan musuh daripada parti luar adalah merupakan kiraan pahala percuma yang akan dituai pada hari kiamat. Ianya seperti saham yang diperoleh percuma tanpa perlu melabur dengan amalan tenaga, perbelajaan waktu dan pengeluaran wang ringgit kita.

PRINSIP KEENAM: Melawan golongan yang tidak layak menurut syariat sekalipun menjadi arang.

Kadangkala sikap menolak jawatan pada saat yang bukan keperluan dilihat baik. Tetapi sikap ini apabila ditonjolkan pada saat keperluan seperti bakal calon adalah golongan yang tidak layak, maka sikap menolak jawatan ini bukan lagi satu sifat yang baik.

Dalil yang paling jelas ialah bagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul melawan pemimpin-pemimpin di zaman mereka. Yang mereka perangi itu bukan sahaja pemimpin yang kafir, tetapi pemimpin yang mengaku Allah sebagai tuhan dan beriman dengan nabi-nabi sebelumnya seperti kisah-kisah Bani Israel seperti kekecohan sewaktu perebutan antara Talut golongan Al-Malak sebagai pemimpin Bani Israel untuk berdepan dengan kerajaan Jalut pada zaman tersebut.

Jika kita adalah golongan yang menolak jawatan kepimpinan disebabkan 5 prinsip di atas, maka kita juga adalah golongan yang akan kehadapan merebut jawatan kepimpinan dan menempuh segala risikonya sekalipun besar, apabila bakal pimpinan bukan seseorang yang tidak layak menurut syariat.

Jika kita membuka kitab-kitab sejarah Islam, bukan sahaja melahirkan sikap dan kenyataan tidak bersetuju, bahkan ramai ulama-ulama taabiin dan sighar sohabah yang gugur ketika mereka enggan memberikan baiah dan mengiktiraf khalifah yang tidak layak. Kita melihat dengan jelas bagaimana tegasnya Abdullah b Zubair dan Said b Jubair ketika mereka enggan memberikan baiah kepada Khalifah Abdul Malik b Marwan sehingga akhirnya mereka dibunuh oleh Hajjaj b Yusof As-Saqafi.

Fekah Islam telah menggariskan dan menerangkan keadaan-keadaan yang mewajibkan sabar terhadap pemimpin dan keadaan-keadaan yang mewajarkan berlaku gerakan menukar seseorang pemimpin pada sesuatu masa. Kita perlu menghalusi hukum ini dengan baik supaya kita mengetahui dengan tepat masa yang perlu kita bersabar dan masa yang perlu kita bergerak.

Kesimpulannya, apabila kita menghayati enam prinsip di atas maka dengan izin Allah parti kita akan menjadi kuat dan musuh kita akan kehairanan seterusnya kemenangan itu akan hampir kepada kita Insyallah.

Allahuakbar!!!

Sekian.

PEMILIHAN PARTI: PRINSIP KITA YANG TIDAK DIFAHAMI OLEH MUSUH.Oleh: Zaharudin Muhammad. Masih berbaki sekitar lima…

Posted by Zaharudin Muhammad on 22hb April 2017

{jathumbnail off}