Home Minda Presiden

Pemikiran yang masih dijajah

244
SHARE

Minda Presiden PAS
PEMIKIRAN YANG MASIH DIJAJAH


Firman Allah SWT:

﴿هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾

“Dialah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkannya ke atas segala agama-agama yang lain; meskipun orang Musyrik membenci.” (Surah al-Saff: 9)

Sabda Rasulullah SAW:

الْإِسْلَامُ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى.

“Islam itu tinggi, dan tiada ajaran yang dianggap lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari 1399 dan al-Daraqutni 3620)

Islam itu wajib dimuliakan mengatasi segala agama, ideologi dan ajaran yang lain, sehingga Islam berkuasa memerintah dalam sebuah negara berdaulat. Bahkan, juga dalam seluruh kehidupan manusia dan segala urusannya, kerana hanya Islam adil untuk semua.

Inilah Islam yang diwahyukan kepada para anbiya’ yang berakhir dengan Nabi Muhammad SAW. Inilah juga Islam yang datang ke Nusantara apabila ia dianuti oleh negara dan rakyat. Sebarang undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan Islam adalah terbatal dengan sendirinya.

Para Sultan dan Raja-raja Islam, para ulama’ dan rakyat bersama-sama mempertahankan kedudukan Islam yang diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Sehinggakan, mereka menentang penjajah dengan harta dan jiwa raga mereka, walaupun perjuangan itu memakan masa dan beberapa generasi lamanya.

Tanah air kita telah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad yang lalu, bersama digubal Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan (negara).

Walaupun teks asal perlembagaan tersebut dalam Bahasa Inggeris, namun apabila kita telah mencapai kemerdekaan sepatutnya terpulang kepada kita sendiri untuk mentafsirkannya dengan bahasa kita mengikut kefahaman agama yang kita anuti.

Kini terserlah bahawa agama Islam yang dikatakan di bawah naungan raja-raja melalui pentadbiran khusus, yang dinamakan Majlis Agama Islam tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia. Bahkan, hukum yang nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakimnya.

Lebih malang lagi, perkara tersebut melibatkan individu yang beragama Islam disebabkan mereka mengikut buku perlembagaan yang ditulis sebegitu rupa. Hal ini demikian kerana, perkataan agama dan Islam ditafsirkan daripada perkataan Bahasa Inggeris dengan istilah ‘religion’, bukan dengan makna al-din mengikut Bahasa al-Quran.

Perkataan al-din bermaksud ajaran agama yang luas dan sempurna dalam semua perkara yang diberikan peranan oleh Allah Pencipta alam kepada semua makhluknya, termasuklah kalangan manusia.

Allah SWT bertanya dalam al-Quran dengan berfirman:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣﴾

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama selain daripada agama Allah? Padahal kepadaNya jualah tunduk dan taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, dan kepada-Nya jualah mereka dikembalikan.” (Surah Ali ‘Imran: 83)

Soalan yang ditanyakan dalam ayat di atas adalah sangat keras, apabila terdapat kalangan mereka yang tidak sedar bahawa mereka sedang berada di bumi Allah SWT dan di bawah langit-Nya. Justeru, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melampaui sempadan yang sudah menjadi ketetapan Allah yang Maha Bijaksana. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢١﴾

“Patutkah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah mereka (yang berbuat demikian) akan dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Shura: 21)

Jelas Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim dalam kenyataannya yang menegaskan:

“Apa yang menyedihkan ialah Mahkamah Agong nampaknya bersedia menerima hujah bahawa perkataan Islam yang terdapat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan hendaklah difahamkan sebagai meliputi hanya perkara-perkara yang berhubung dengan upacara dan adat istiadat agama sahaja. Telah dikatakan bahawa inilah yang dimaksudkan oleh pihak mereka yang merangka Perlembagaan itu dan ia adalah akibat pemerintahan tidak langsung British dalam masa penjajahan dahulu dan wujudnya institusi sekular. Apakah kita masih terikat dengan kedudukan penjajah itu sedangkan kita sudah mencapai kemerdekaan?” (“Undang-Undang Islam di Mahkamah Sivil”, Kertas kerja bagi Simposium Mengenai Pindaan Perlembagaan Malaysia, Jurnal Hukum, Jld. X Bhg. I I, Jun 1996, hal. 129-149)

Dahulunya ada dalam kalangan hakim yang memahami apa yang tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Almarhum Tun Salleh ‘Abbas, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Almarhum Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani dan lain-lain, terpaksa menangguhkan hal yang tersebut. Selain itu, mereka juga mentafsirkannya dengan fikiran yang merdeka daripada perlembagaan yang masih dibelenggu atau digari oleh penjajah yang sudah lama meninggalkan negara kita. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan ganjaran kepada mereka yang sedar dan insaf itu.

Akan tetapi, kepada mereka yang jahil atau terlepas pandang terhadap perkara tersebut, perlulah menyedari betapa bahaya dunia dan akhiratnya apabila mereka melangkah kekuasaan Allah Tuhan Pencipta dan Pemerintah seluruh alam. Semua kerajaan yang wujud di alam dunia termasuk kuasa besar dunia berada di bawah kekuasaan Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦ تُولِجُ ٱلَّيۡلَ فِي ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِي ٱلَّيۡلِۖ وَتُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَتُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّۖ وَتَرۡزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ٢٧﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26); Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah juga yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah juga yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki tanpa hitungan hisabnya (batasannya).’ (27)” (Surah Ali ‘Imran: 26-27)

Berwaspadalah terhadap mereka yang mempertahankan jahiliah dengan kedegilannya dan ingatkan diri masing-masing dengan firman Allah SWT:

﴿وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka. Dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menyeksa mereka disebabkan oleh sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49); Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang berkeyakinan. (50)” (Surah al-Ma’idah: 49-50)

Allah SWT menegaskan bahawa tidak melaksanakan ajaran Islam yang sempurna merupakan langkah-langkah syaitan yang menyesatkan, sebagaimana firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٢٠٩ هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن يَأۡتِيَهُمُ ٱللَّهُ فِي ظُلَلٖ مِّنَ ٱلۡغَمَامِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَقُضِيَ ٱلۡأَمۡرُۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ٢١٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kalian menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian. (208); Maka, kalau kalian tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kalian, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (209); (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan. (210)” (Surah al-Baqarah: 208-210)

Maka, perjuangan umat Islam belum selesai lagi, selagi Islam tidak dimuliakan setinggi-tingginya. Setiap golongan yang beriman percaya bahawa kemuliaan umat Islam tetap ada selagi mereka bersama Islam.

Di manakah raja-raja, para ulama’ dan rakyat yang beriman? Ingatlah firman Allah SWT:

﴿…قُلۡ مَتَٰعُ ٱلدُّنۡيَا قَلِيلٞ وَٱلۡأٓخِرَةُ خَيۡرٞ لِّمَنِ ٱتَّقَىٰ وَلَا تُظۡلَمُونَ فَتِيلًا٧٧ أَيۡنَمَا تَكُونُواْ يُدۡرِككُّمُ ٱلۡمَوۡتُ وَلَوۡ كُنتُمۡ فِي بُرُوجٖ مُّشَيَّدَةٖۗ…٧٨﴾

“…Katakanlah: ‘Kesenangan di dunia ini hanya sebentar sahaja dan (balasan) di akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa, dan kalian pula tidak akan dianiaya sedikit pun. (77); Di mana sahaja kalian berada, kematian akan mendapatkan kalian, sekalipun kalian berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh… (78)” (Surah al-Nisa’: 77-78)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Rajab 1443 / 24 Februari 2022