Home Berita PAS Pusat

Pembukaan Masjid Al-Azhar: Pembangkit Tamadun Islam (7 Ramadhan 316)

1011
SHARE

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PEMBUKAAN MASJID AL-AZHAR: PEMBANGKIT TAMADUN ISLAM
(7 RAMADHAN 316)

SISTEM pendidikan cekap dan tersusun telah diperkenalkan oleh Islam melalui penubuhan institusi-institusi akademik seperti perpustakaan, pusat penyelidikan (seperti Baitul Hikmah) dan penubuhan madrasah (kemudian jamiah – universiti) di pusat-pusat tamadun. Dari pusat-pusat keilmuan ini, kemudian lahirkan tokoh-tokoh ulamak, pemikir dan cendikiawan ulung Islam yang berjaya mengubah dunia menjadi moden kemudiannya. Bahkan, institusi keilmuan telah membolehkan kota-kota seperti Baghdad, Damsyik, Cardova dan Qairuwan menjadi pusat tamadun dunia ketika itu.

Kemunculan sistem pendidikan universiti ini diperkenalkan pertama kali oleh dunia Islam melalui penubuhan Madrasah Zaytuna di Qairuwan pada 116H (731M). Madrasah ini melahirkan tokoh terbesarnya, Ibnu Khaldun pada abad ke-14M. Turut terkenal ialah Masjid Cardova yang dibina oleh Abdul Rahman ad-Dakhili pada 170H (785M), sebelum menjadi Jamiah Cardova pada zaman Khalifah Abdul Rahman an-Nasr (912-961M). Kemudian muncul pula Jamiah al-Qarawiyin di Fez, Maghribi pada 825M, sebelum berdirinya Masjid Sankore di Timbuktu pada 989M yang menjadi universiti pada 1329M dan Madrasah Nizamiyah di Baghdad yang diasaskan oleh Nizamul Muluk pada tahun 459H (1067M).

Kemunculan Universiti al-Azhar Dalam Tamadun Pendidikan Islam

Seperti gerakan keilmuan yang berpusat di Qairuwan, Cardova, Fez dan Timbuktu, Daulah Fatimiyah yang menguasai Mesir mengambil langkah membangunkan sebuah universiti bagi menjadikan Mesir sebagai pusat tamadun Islam. Penubuhan Universiti al-Azhar pada 361H (972M) telah merealisasikan hasrat ini. Universiti al-Azhar telah menyertai beberapa universiti baru yang dibangunkan di Afrika ketika itu termasuk Madrasah al-Attarin di Fez (1324M), Masjid Sidi Yahya dan Masjid Djingueber (Jingaray) yang membentuk Jamiah Timbuktu pada 1329M, Madrasah Buo Inania di Fez (1351M) dan Jamiah Granada yang dibina sekitar 1340M.

Jamiah al-Azhar atau Universiti al-Azhar pada mulanya dibina sebagai sebuah masjid besar bagi Kaherah dengan nama Masjid Jamik Kaherah. Ia bertujuan sebagai kenangan Daulah Fatimiyah, kemudian bertukar menjadi pusat keilmuan termasyhur di dunia. Pada peringkat awal, ia menjadi pusat pengajian ilmu-ilmu Islam dalam aliran Syiah, sebelum bangkit sebagai institusi pendidikan Sunni setelah Sultan Salahuddin al-Ayubi menguasai Mesir pada 1171M.

Sistem pendidikan di Jamiah al-Azhar bermula dengan pengajian-pengajian halaqat di masjid, tetapi pada tahun 387H, seorang menteri, Yaakub bin Kals telah mengusulkan kepada Khalifah al-Aziz Billah supaya Masjid al-Azhar dijadikan sebuah universiti yang mengajar pelbagai cabang ilmu, lalu ia dikenali sebagai Jamiah al-Azhar sehingga kini.

Pembukaan Universiti al-Azhar

Masjid Jamik Kaherah telah dibina oleh Panglima Jauhar as-Siqilli sebaik sahaja Mesir jatuh ke tangan Daulah Fatimiyah pada 359H. Pembinaan masjid telah dimulakan pada 24 Jamadil Awal 359H dan mengambil masa selama dua tahun. Setelah siap dibina, perasmian masjid ini dilakukan dengan mengadakan solat Jumaat buat pertama kali pada 7 Ramadhan 361H, yang menandakan bermulanya sejarah al-Azhar. Khalifah al-Muiz Li Diinillah telah meletakkan nama masjid ini sebagai Masjid al-Azhar sempena nama Saiyidah Fatimah az-Zahra, puteri Rasulullah SAW menggantikan nama lama, Masjid Jamik Kaherah.

Kemunculan Jamiah al-Azhar sebagai pusat keilmuan Sunni selepas 1171M, telah menyebabkan para ulamak Sunni yang dahulunya bergiat di Masjid Amru al-As dan Baitul Hikmah mula berpindah ke Jamiah al-Azhar sehingga ia menjadi sangat terkenal. Di kalangan orang Melayu, ulamak yang pertama belajar di universiti ini ialah Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani (1856-1908M), tokoh ulamak, penulis, pentashih kitab dan Pengarah Percetakan Daulah Othmaniyah yang terkenal di Mekah itu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
7 Ramadhan 1439 / 23 Mei 2018