Home Berita PAS Kelantan

Pelbagai program rancakkan industri perikanan Kelantan

97
SHARE

KOTA BHARU, 27 Nov: “Sehingga September tahun ini, empat daerah marin menunjukkan prestasi pendaratan ikan marin yang positif ke arah mencapai sasaran 61,000 metrik tan setahun.”

Demikian ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan dalam Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal yang Kelima, Dewan Negeri Kelantan Ke empat belas, hari kedua, hari ini.

Menurut beliau, pihak Jabatan Perikanan Negeri Kelantan sentiasa mengadakan program pembangunan nelayan untuk memastikan sektor perikanan tangkapan aktif beroperasi bagi menjamin bekalan makanan sumber protein mencukupi khususnya kepada rakyat Kelantan.

“Antara program yang telah dilaksanakan oleh Jabatan tersebut ialah memperuntukkan RM270,000 untuk program pembangunan melabuh Tukun Tiruan Penghalang Pukat Tunda di Perairan Tok Bali, Pasir Puteh,” katanya.

Selain daripada meningkatkan aktiviti penguatkuasaan secara berkala oleh Pasukan Penguatkuasaan, turut diberikan ialah peruntukan pembangunan negeri di bawah Pembangunan unjam yang pastinya dapat memberi manfaat kepada nelayan tradisi dan meningkatkan pendaratan.

Tambahnya lagi, melalui program kesejahteraan nelayan, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM975 ribu pada tahun ini bagi membantu dan meringankan kos nelayan dalam sektor perikanan tangkapan dan juga ternakan akuakultur.