Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Pelantikan Presiden PAS Sebagai Duta Khas Setanding Pengalaman Di Peringkat Antarabangsa
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah atas pelantikan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, merangkap Ahli Parlimen Marang sebagai Duta Khas mewakili YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah seperti yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia semalam.
Umum mengetahui Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa terutamanya dalam kalangan dunia Islam di Eropah dan Timur Tengah.
Antaranya beliau pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada tahun 2014 dan juga sebagai Ahli Penyelaras Sekretariat Parti Islam Sedunia di Turki.
Beliau juga pernah terlibat secara langsung di dalam rundingan konflik umat Islam di seluruh dunia termasuk di Afghanistan, Bosnia, Yaman, Selatan Thailand, Aceh dan sebagainya.
PAS percaya pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman beliau dalam keadaan dunia memerlukan tokoh yang boleh membina hubungan yang mantap antara Malaysia dan negara-negara di Timur Tengah serta negara Islam yang lain.
Kami seluruh ahli PAS mendoakan YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden terus dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT agar dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh bijaksana bagi menaikkan imej negara Malaysia untuk terus berperanan di peringkat antarabangsa.
‘Islam Memimpin Perpaduan’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
3 April 2020 | 9 Syaaban 1441