Home Berita PAS Kedah

Pelancaran badan beruniform Pegawai Kadet Amal KIDU

111
SHARE

POKOK SENA – Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) telah berjaya melaksanakan Program Pelancaran Badan Beruniform Pegawai Kadet Amal Kolej Islam Darul Ulum, Rabu lalu.

Badan Beruniform tersebut adalah dibawah penyeliaan Jabatan Amal Malaysia Bahagian Pelapis Pusat iaitu Tuan Zulkifli Muhyiddin yang juga Timbalan Ketua Pengarah 4 dengan kerjasama di peringkat Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah dan Briged Muslimat Negeri Kedah.

Sesi pengenalan Pegawai Kadet Amal KIDU telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah, Tuan Saiful Syazwan Shafie dan Ketua Sektor Pembangunan Insan Briged Muslimat Negeri Kedah, Puan Naimah Che Lah dalam majlis tersebut.

“Saya amat berbesar hati dan sangat mengalu-alukan setiap institusi terutamanya institusi pendidikan dibawah kelolaan Jemaah PAS ini untuk menubuhkan dan mewujudkan sukarelawan amal seperti ini,” katanya.

Menurut Tuan Saiful Syazwan Shafie lagi Kadet Amal ini bukanlah kali pertama dilancarkan di Negeri Kedah, dan Pegawai Kadet Amal KIDU ini juga sebenarnya telah ditubuhkan pada 2016 yang lalu, namun pelancaran ini dilaksanakan semula bagi tujuan pemurnian semula badan tersebut.

Tuan Saiful Syazwan Shafie juga dalam majlis pelancaran tersebut mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) yang sentiasa komited dalam membangunkan modal insan serta memilih Kadet Amal sebagai aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan semua pelajar.