Home Berita PAS Kelantan

Pelan Induk Pembangunan Hutan Simpan Ulu Sat dilancarkan

129
SHARE

MACHANG, 21 Mac: Tanggal 21 Mac setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Hutan Antarabangsa untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan secara mampan.

Sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Dato’ Ahmad Yakob pada hari ini, Pelan Induk Pembagunan Hutan Simpan Ulu Sat telah dilancarkan. Ia merupakan buku yang dihasilkan untuk memberi panduan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dalam merancang pembangunan produk ekopelancongan di dalam Hutan Simpan Ulu Sat yang meliputi Taman Eko Rimba (TER) Bukit Bakar, TER Jeram Linang dan TER Lata Tujuh.

Semasa merasmikan majlis pelancaran, katanya beliau percaya sektor ekopelancongan akan terus memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang kepada hasil kerajaan negeri pada masa hadapan dan pada masa sama kerajaan negeri akan terus menyokong dan mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal daripada pelbagai pihak terutama berkaitan ekopelancongan dan bioversiti hutan ke arah kestabilan dan pengekalan alam sekitar.

Sementara itu, majlis yang diadakan di Taman Eko Rimba Bukit Bakar, Machang ini sangat bertepatan dengan kesungguhan dan hasrat murni serta komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak tempat riadah yang mengetengahkan unsur ekopelancongan. Maka bagi menyempurnakan lagi majlis tersebut, YAB MB turut menyempurnakan gimik menanam pokok Chengal sebagai simbolik pokok rasmi bagi negeri Kelantan.

Majlis turut dihadiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Dato’ Abdullah Ya’kub, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Abdul Aziz Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, ADUN Pulai Chondong, Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, Pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua jajahan dan wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).