KOTA BHARU, 2 Dis: 33 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) daripada Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa kreatif bergabung tenaga dan idea menghasilkan enam jenis produk inovasi bagi memenuhi keperluan kursus Product Development and Innovation Management serta kursus Technology Commercialization.
Antara produk inovasi yang dihasilkan mereka ialah Smart Dustbin, Smart Lamp, Fun Dino Water Dispenser, Pengisar Makanan, Hand Sanitizer Automatic dan Make up Organizer.
Ketua Eksekutif kolej tersebut, Dr Nik Kamaruzaman Abdullatif berkata, program inovasi sebegitu sangat penting dan mampu membuka ruang kepada pelajar untuk mengetengahkan idea kreatif mereka ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ianya dapat dikomersialkan.
Berhubung perkara sama, Pensyarah kanan daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan, Dr Mariam Setapa berkata, pelajar KTD mempunyai kelebihan yang tersendiri.
“Bagi tahap pelajar diploma, apa yang dihasilkan mereka, di luar jangkaan saya, kerana mereka bukan sahaja mampu menghasilkan kertas kerja tapi sekali gus mengeluarkan prototaip produk inovasi yang sangat ‘reliable’ dan kredit harus diberikan juga kepada pensyarahnya Nik Nor Syamila Shaban. Selain itu penganjuran program sebegini juga mampu menjadi ‘benchmark’ kepada pelajar IPT lain kerana mereka hebat berdikari dalam mencari penaja bagi mendapatkan dana tanpa bergantung kepada peruntukan pihak kolej itu sendiri,” katanya ketika ditemui di program Project Management and Technology Innovation di K Castle, di sini, semalam.
Sementara itu, Siti Nor Khadijah Shamsudin, 21, pelajar semester 5, Diploma Pengurusan Teknologi yang mewakili kumpulan mereka berkata, Fun Dino Water Dispenser yang dihasilkan menggunakan aplikasi teknologi water pump dan bateri itu bertujuan memudahkan pengguna menukar jenis air dan lebih mesra pengguna kepada golongan kanak-kanak.