Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pecutan Akhir Buat Jentera PAS

875
SHARE

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahui. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada, dan kamu tidak akan dianiaya” [ Q:S. Al-Anfal : 60 ]

1. Menuju tarikh keramat, 9 Mei 2018 bagaikan menunggu saat bulan jatuh ke riba, hari yang sudah pasti menjadi penantian buat semua pejuang PAS tidak kira walau di mana sahaja kita berada.

2. Mengakui dan menyedari hakikat kurniaan kemenangan hanya di atas kehendak Allah, tidak pernah mengendurkan semangat juang jentera PAS seluruh Malaysia untuk meneruskan gerak-kerja pilihan raya yang tidak akan berkesudahan selagi mana Islam belum tertegak di bumi Malaysia ini.

3. Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi masa berbaki untuk seluruh jentera parti mengorbankan masa, tenaga dan keringat bekerja memenangkan PAS.

4. Kami Muslimat PAS menyeru dan mengajak seluruh jentera parti agar terus bekerja dengan bersungguh-sungguh dalam bidang dan kepakaran masing-masing.

Tugasan merayu undi, berkempen, mereka poster, menulis berita, mengedar risalah dan menggantung bendera serta segala perancangan yang pastinya sangat banyak untuk dilaksanakan.

5. Semoga segala kerja buat kita ini akan menjadi saham di akhirat andainya disoal, “Apakah usaha kita untuk memenangkan Islam?”.

6. Selain bekerja dengan bersungguh-sungguh dengan menuntut pengorbanan, kami juga merayu seluruh jentera PAS agar tidak lupa bermunajat dan memohon kepada Allah.

Mohonlah agar dikurniakan kemenangan kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Masa yang tinggal ini kita sepatutnya menjaga amalan dan melebihkan munajat serta doa dalam tahajjud kita.

7. Sesungguhnya selain daripada usaha yang bersungguh, meletakkan harapan dan pergantungan yang tinggi kepada Allah juga merupakan satu syarat mencapai kemenangan.

Kita dilihat lemah pada luarannya berbanding parti lain, namun di sebalik itu, jangan pernah kita lupa bahawa kita ada Allah Yang Maha Berkuasa ke atas hamba-Nya. Mudah-mudahan segala doa dan hajat kita Allah makbulkan.

8. Kita melihat PAS diserang kiri dan kanan lawan, seharusnya jentera PAS mesti meningkatkan kesabaran, sentiasa beradab, menjaga tutur bahasa dalam berdebat dan mempertahankan prinsip PAS.

Ahli PAS perlu sentiasa menanamkan sifat berhati-hati dalam setiap langkah kerana musuh akan memerhati gerak-geri tindakan kita. Sebaiknya, jentera parti tidak perlu melayan provokasi yang kebanyakannya sengaja dibuat oleh ‘cybertroopers’ pihak lawan.

9. Akhirnya, jentera PAS mesti ingat bahawa kita masuk Pilihan Raya bukan semata-mata ingin menang di Putrajaya, malah kita masuk Pilihan Raya adalah untuk menegakkan undang-undang Islam di Malaysia dan mentadbir negara dengan acuan Islam melalui pesta demokrasi.

In Syaa Allah dengan Islam pasti kita akan selamat sebagaimana kita faham, Islam Rahmat untuk Semua.

Sejahtera Bersama Islam
Membina Malaysia Sejahtera

Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
6 Mei 2018 bersamaan 20 Syaaban 1439