Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Pecah Undi Merugikan Agenda Islam Adalah Terlarang

831
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 17

PECAH UNDI MERUGIKAN AGENDA ISLAM ADALAH TERLARANG

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Umat Islam tidak dididik untuk mengejar jawatan kerana asasnya ia merupakan taklifan dan bebanan yang akan disoal di akhirat kelak. Jawatan bukanlah untuk direbut kerana semata-mata mahukan habuan dunia dan kekayaan.

Nabi Muhammad SAW menasihati sahabatnya melalui sabdanya:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، لا تَسْأَلِ الإِمَارَةَ، فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta jawatan kepimpinan kerana sesungguhnya jika engkau mendapat jawatan itu hasil meminta-minta maka engkau diserahkan kepadanya (tanpa dibantu oleh Allah), dan jika engkau diberikan jawatan bukan kerana meminta-minta, engkau akan dibantu (dengan pertolongan Allah).” [Riwayat al-Bukhari]

2. Malah sikap tamak kepada habuan dunia akan berakhir dengan sesalan dan menyebabkan kekalahan. Ambillah pengajaran ujian kekalahan semasa perang Uhud akibat majoriti pemanah yang ditempatkan di atas Bukit Uhud meninggalkan posisi kerana hilang fokus akibat harta ghanimah bertebaran di depan mata.

3. Dalam Islam, asas kepada seseorang yang dicalonkan adalah untuk membantu perjuangan Islam dan melakukan kerja amar makruf serta nahi mungkar. Sehubungan itu, calon yang menjadi asbab perpecahan dalam tuntutan agama serta pemecah undi yang merugikan perjuangan Islam adalah sangat ditegah oleh Syariat Islam.

Hal ini turut dijelaskan oleh Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَّسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ ۚ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agamanya dan mereka terbahagi menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah (terserah) kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan.” [al-An’am: 159]

4. Pengundi mestilah prihatin masa hadapan agamanya dan wajib mengekalkan kedaulatan agama agar tertegak di negara ini. Jangan jadikan undian anda merugikan perjuangan Islam yang telah dibangunkan oleh para ulama sebelum ini.

5. Sesungguhnya pengundi yang cintakan negara ialah pengundi yang mempastikan calon yang bakal dipilih dapat menguntungkan perjuangan Islam dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum. Undian tidak boleh diberikan kepada pihak calon yang menggunakan kaedah Machiavelli iaitu “matlamat menghalalkan cara” serta mengamalkan politik yang menyimpang dari petunjuk syariat.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

21 Syaaban 1439H / 7 Mei 2018 (Isnin)

 

Muat turun dokumen (versi PDF) bagi tujuan cetak & sebaran kepada pengundi PRU14 di pautan berikut:

risalah untuk pengundi – bil 17