Home Berita PAS Kelantan

PAWE Pasir Mas pertingkatkan aktiviti warga emas

389
SHARE

PASIR MAS, 24 Mac: Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Hanifa Ahmad memuji inisiatif Jawatankuasa Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Mas atas keaktifan pengurusan mempertingkatkan kualiti kehidupan warga emas dari aspek spiritual, mental dan fizikal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir mengucapkan tahniah kepada PAWE kerana mewujudkan pusat khas kepada warga emas beraktiviti untuk meneruskan kelangsungan usia dalam keberkatan.

“Nikmat direzekikan Allah berusia panjang mesti digunakan sebaik-baiknya untuk berbuat amal dan memberi manfaat yang terbaik sesama manusia. Seseorang yang istiqamah beramal ketika muda, apabila dia sakit sampai tidak mampu beribadat, Allah minta malaikat catat amalan baiknya semasa muda dulu sampai kiamat,” katanya ketika merasmikan masjlis penutup Mesyuarat Agung Tahunan PAWE Pasir Mas Kali Ketiga dan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf Pengkalan Pasir di perkarangan PAWE, hari ini.

Beliau juga menzahirkan kekaguman setelah mendapat makluman, ahli PAWE berpakat melaksanakan sedekah Subuh menggunakan duit sendiri sehingga mampu menyumbang bantuan kepada 15 asnaf sebulan tanpa mengira latar agama dan kaum sepanjang tiga tahun penubuhannya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas merangkap penyelaras PAWE jajahan Pasir Mas, Tuan Rabihah Tuan Ibrahim pula menyeru ramai lagi warga emas menyertai PAWE dengan berkongsi lima dimensi Dasar Warga Emas Negara iaitu penuaan aktif anggota masyarakat berusia 60 tahun ke atas dengan melibatkan diri dalam program kerohanian.
Tambahnya, penuaan sihat pula menekankan aspek kesihatan mental dan fizikal dengn kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah manakala program sosial rekreasi dan sukan dijalankan bersesuaian dengan tenaga dan usia peserta.

Menurutnya, dimensi keempat ialah program sokongan kepada warga emas yang tidak mahir membayar bil utiliti. Para sukarelawan PAWE bersedia membantu ahli untuk mempermudahkan urusan berkaitan.

Seterusnya, warga emas yang sihat dan kuat berperanan menyumbang kepada komuniti melalui aktiviti pemerkasaan ekonomi seperti menjalankan perniagaan di Kafe Legend, menjual produk sejuk beku dan perusahan ternakan madu kelulut dan landskap.

“Kerajaan menyalurkan RM50 ribu setahun sebagai geran pengurusan kepada PAWE dengan khidmat nasihat dan pemantauan JKM. Manakala bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar dan telah menjalankan projek ekonomi, kerajaan menyediakan dana khas RM200 ribu bagi membantu projek pemerkasaan ekonomi,” jelasnya.