Home Berita PAS Melaka

PASTI TERUS KUKUH MEMBINA GENERASI AL-QURAN

1040
SHARE

Oleh : ABU ANAS

JASIN – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) terus mendapat pilihan ibubapa mengurus pendidikan pra-sekolah anak-anak mereka sekaligus membantu bersama membina generasi Al-Quran masa hadapan.

Timbalan Pengarah 2 PASTI Negeri Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin berkata tunjang utama pendidikan PASTI tetap tidak berubah memberi tumpuan membentuk sahsiah diri dikalangan pelajar berpandukan sumber utama rujukan Al-Quran.

Beliau berkata PASTI melalui Dewan Pemuda PAS mengambil tanggungjawab memastikan hasrat ini tercapai dengan kerjasama erat guru-guru, ibubapa dan masyarakat khususnya.

“Cabaran guru-guru PASTI hari ini mereka perlu menzahirkan kreativiti dalam pembelajaran untuk memberi galakan dan peluang membina potensi dan keyakinan pelajar” katanya.

Menurut Norfaizal lagi, bermula tahun ini PASTI Malaysia akan mengguna pakai kurikulum baharu iaitu Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) bagi melonjak kecemerlangan pelajar secara lebih menyeluruh.

“Melalui SPPM ini perkembangan pelajar tidak lagi dinilai melalui peperiksaan sahaja, mereka perlu menempuh lima cabaran iaitu Celik Al-Quran, Celik Sahsiah,Celik Mnda, Celik Cerdas dan Celik Membaca” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan hari pertama persekolahan di beberapa PASTI sekitar Jasin kelmarin.

Antara PASTI yang dikunjungi PASTI Al-Amin Bukit Tembakau, PASTI Ar-Raudhah Umbai, PASTI Umri Serkam Pantai, PASTI Al-Faqeh Serkam Darat, PASTI Al-Hasanah Sebatu, PASTI An_Najah dan As-Solihin Merlimau.

Sementara itu, Pengerusi PASTI Kawasan Jasin Ustaz Mohd Hatta Abu Bakar ketika dihubungi berkata PASTI Kawasan Jasin sehingga semalam mencatatkan pertambahan 64 pelajar kepada 724 orang berbanding 660 pelajar pada tahun 2019.

“Kenaikan jumlah pelajar ini dibantu dengan penambahan 3 PASTI baharu iaitu PASTI An-Najah, PASTI Al-Faqeh dan PASTI Al-Hakim dan jumlah keseluruhan PASTI di Jasin adalah 16” ujarnya.

Untuk rekod tahun 2020, 81 PASTI beroperasi di seluruh negeri Melaka termasuk 10 PASTI baharu melibatkan hampir mencecah 5000 pelajar.

Sekalung tahniah PASTI Negeri Melaka!