Oleh : Abu Harith
KOTA MELAKA, 8 Feb : Hari pertama sesi persekolahan PASTI Assyafie Taman Seri Telok Mas yang bermula hari ini berjalan lancar, dengan semua guru, ibu bapa dan murid-murid mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dan melalui sesi pembelajaran mengikut norma baharu.
Tinjauan yang dibuat oleh Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ke lokasi sekolah juga mendapati semua ibu bapa dan murid-murid yang hadir pada hari ini lengkap dengan pemakaian pelitup muka, adanya penjarakan sosial dan pelbagai ragam murid serta ibubapa dapat diperhatikan.
Kelihatan guru-guru juga lengkap dengan pemakaian pelitup muka, faceshield yang disumbangkan oleh warga UTeM, vest dan sarung tangan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib ketika proses menyambut kedatangan dan kepulangan murid-murid daripada PASTI.
Menurut Guru Kelas Pelajar 5 Tahun, Norfisah Razali, setiap ibu bapa perlu membuat pengesahan tahap kesihatan anak-anak mereka di dalam borang khas yang telah disediakan bagi memastikan mereka yang betul-betul sihat sahaja hadir ke sekolah.
“Apabila sampai di sekolah mereka diingatkan agar sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka serta diajar membasuh tangan dengan kerap bagi menjaga tahap kebersihan semua murid,” ujar beliau.
Sementara bagi Guru Kelas Pelajar 4 Tahun, Raihana Jaafar pula, setiap pelajar sentiasa dipantau agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial ketika sesi pembelajaran berlangsung, termasuk ketika waktu makan.
“Dan murid juga diminta untuk membawa peralatan makan minum sendiri daripada rumah bagi mengekang penularan Covid-19 daripada berlaku.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui berpuas hati dengan persediaan dan persiapan yang telah dilakukan pihak PASTI Assyafie serta mereka berharap dengan adanya SOP yang telah ditetapkan ini sedikit sebanyak keselamatan dan kesihatan murid terus terjamin memandangkan murid-murid kelihatannya cukup bersemangat dan gembira apabila sesi persekolan telahpun bermula.