Home Berita PAS Johor

PASTI Johor rakam terima kasih kepada DPPM atas caruman PERKESO untuk guru-guru PASTI

397
SHARE

Oleh : Mohamad Firdaus Adnan

Simpang Renggam, 2 Ogos : PASTI Johor dalam satu kenyataannya hari ini merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan pengurusan PASTI Malaysia, atas usaha serta kejayaan dalam mencarumkan guru-guru PASTI dengan caruman di bawah agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini.

Pengarah PASTI Johor, Mohd Fairuz Alias menyatakan bahawa pada 1 Ogos 2021, secara rasminya guru-guru PASTI khususnya Negeri Johor telah berjaya dicarumkan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Ianya satu berita gembira yang sangat dinantikan oleh semua warga PASTI terutama guru-guru, yang sangat mengharapkan mereka dilindungi dengan caruman ini dimana akan membawa manfaat buat semua guru yang pastinya selama ini telah banyak keringat dan pengorbanan demi memastikan pendidikan anak-anak PASTI dapat terus berlangsung dengan cemerlang” kata beliau.

“Skim yang dicarumkan ini merupakan klausa dalam mereka yang bekerja sendiri, kerana terdedah dengan bahaya sekeliling, termasuk penyakit semasa pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

“Yang dimaksudkan bencana pekerjaan sendiri ini ialah kecederaan diri pada orang berinsurans bekerja sendiri, yang disebabkan oleh suatu kemalangan atau suatu penyakit pekerjaan akibat daripada dan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendirinya termasuk semasa dalam perjalanan, yang berkaitan dengan aktiviti pekerjaannya ” tambah Fairuz.

Beliau juga menambah, antara manfaat yang akan diterima oleh para guru dibawah skim ini antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

“Semoga manfaat yang diterima akan memberi suntikan buat guru-guru agar terus bersemangat meneruskan perjuangan mendidik anak-anak PASTI dan moga guru-guru sekalian sentiasa dilindungi serta dirahmati Allah SWT” kata beliau di akhir kenyataannya.