Oleh MUHAMMAD HADI
KANGAR, 5 Feb: PASTI Kawasan Arau hari ini mengadakan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan Arau bagi meraikan murid-murid yang bakal menamatkan pengajian mereka.
Majlis yang diadakan secara gilang-gemilang itu berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negeri dan diadakan dalam dua sidang.
Sidang pertama dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perlis, Abu Harith manakala sidang kedua pula oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahuddin Azmi.
Menurut Pengerusi PASTI Kawasan Arau Abd Hadi Halipah, terdapat seramai 290 orang murid 6 tahun akan menamatkan pengajian mereka di PASTI-PASTI seluruh kawasan Arau.
“Justeru, pada hari ini mereka telah diraikan dalam suasana penuh meriah sebagai meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian di peringkat PASTI sebelum melangkah ke alam persekolahan tidak lama lagi,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Anas Anaqi Hafizal daripada PASTI Al Furqan, Taman Pauh Indah muncul penerima Anugerah Tokoh Murid PASTI Kawasan Arau 2023 manakala seramai 28 orang murid pula telah terpilih menerima Anugerah Mumtaz bagi kategori Murid 5 Tahun dan Murid 6 Tahun.