PASIR PUTEH, 17 Oktober: Program Kelantan Bertanjak yang julung kali diadakan di Pasar Pendekar, Kampung Gutong Wakaf Lanas telah membawa generasi lama menggamit nostalgia dan memberi pengalaman baharu kepada generasi muda.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Ahmad Adlee Yasin berkata, Pasar Pendekar mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana pengunjung selesa membeli dalam suasana rimbunan pokok getah untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka.
Selain itu, turut disediakan pelbagai gerai jualan sayuran, ikan, ayam secara terus dari petani dan penternak dengan harga yang murah dan juga terdapat menu makanan tradisional seperti kuih-muih, lauk-pauk dan barangan kering.
“Program tersebut juga ialah sebagai usaha untuk mempromosikan Pasir Puteh sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong di Kelantan yang bertemakan Pasar Pendekar atau suasana pasar orang zaman dahulu kala,” kata Ahmad Adlee semasa merasmikan Program Kelantan Bertanjak, di Pasar Pendekar, Kampung Gutong Wakaf Lanas pada 14 Oktober lalu.
Program anjuran Jawatankuasa Penerangan, Perpaduan dan Pelancongan MDPP dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Guntong Wakaf Lanas dan Persatuan Bertanjak Kelantan telah mendapat sambutan meriah daripada penjual dan pengunjung yang hadir dengan mengenakan busana tradisional yang sesuai dengan tema Pasar Pendekar.
Turut hadir meraikan program tersebut ialah penyandang kerusi parlimen Pasir Puteh Ustaz Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Limbongan, YB Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah dan ADUN Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim.
Sebagai makluman, Pasar Pendekar beroperasi setiap Jumaat dari pukul 8 pagi sehingga jam 12 tengahari. Masyarakat sekitar dan seluruh warga Kelantan dijemput hadir untuk merasai sendiri keunikannya.